Logo MSM

Pemahaman terhadap logo Majlis Syura Muslimun (MSM) amatlah penting sebagai asas memahami perjuangan MSM itu sendiri. Logo MSM dapat di bahagikan kepada empat komponen utama.
1. Komponen yang mengandungi peta dunia dan jazirah arab.
2. Komponen jambatan yang mempunyai 7 anak tangga.
3. Komponen tembok batu-bata.
4. Komponen tiga fasa perubahan satu lembaga manusia.
1. Komponen yang mengandungi peta dunia dan jazirah arab.
Arab diletakkan di pusat tengah logo sebagai satu tanda mengingati tanah arab sebagai asal pusat pengembangan awal Islam ke seantario dunia. Ia juga memberikan kita titik fokus kepada perjuangan rasullulah saw yang mengasaskan jamaah Islam pertama yang menjadi sumber perjuangan dan inspirasi MSM. Daripada sini jelas bahawa pentingnya bagi sesuatu gerakan Islam itu menjadikan sunnah rasullulah saw sebagai sebaik contoh panduan bagi segala aspek kehidupan dalam perjalanan untuk melakukan Islah (pembaikan) dan dakwah kepada manusia sejagat. MSM mempunyai cita-cita tinggi beraspirasikan Islam itu didaulatkan semula di dunia sebagaimana pada zaman Ar Rasul saw, khulafah ar rashidin dan empayar Islam sebelum ia tumbang di tangan kuffar pada tahun 1924 dengan empayar terakhir Uthmaniyah berkubur di Turki.
Tetapi, logo ini tidak terhenti setakat tanah arab, malah ianya di tebarkan sehingga mencakupi seluruh kawasan tanah di dunia yang mencerminkan kesejagatan fikrah Islam yang menjadi prinsip yang didokong oleh MSM. MSM juga, daripada kupasan maksud peta dunia ini, mendokong persaudaraan sejagat (Universal brotherhood) bersama mereka yang mendukung fikrah yang sama, yang tidak dibataskan oleh sempadan geografi, bangsa, warna kulit, bahasa mahupun budaya.
2. Komponen jambatan yang mempunyai 7 anak tangga.
Jambatan dan tujuh tangga ini merentasi peta dunia membawa maksud fikrah yang alami (global) yang di bawa oleh MSM yang tidak hanya di bataskan kepada sempadan geografi Malaysia sahaja tetapi di tujukan kepada seluruh dunia amnya. Tetapi MSM memulakan dakwah dengan menumpukan kepada Malaysia sebagai medan bergerak secara praktikalnya. Think globally, act locally merupakan pegangan ahli MSM.
Tujuh anak tangga ini pula membawa pengertian tujuh maratib amal (tertib-tertib amal) yang digagaskan oleh mujadid kurun ke 20, yakni As Syahid Imam Hasan al Banna hasil ijtihad beliau dalam penelitian seerah rasullulah saw. Tertib-tertib ini di dokong oleh dakwah MSM bagi mencapai tujuan membentuk langkah dakwah MSM itu supaya teratur, tidak terburu-buru dan dilakukan dengan tertib dan teliti. Ini dilakukan dengan memastikan setiap tertib tersebut disempurnakan sebelum melangkau melepasi anak tangga seterusnya bagi menjamin usia dakwah ini akan terus berkekalan. MSM menjadikan keutamaan tertib yang pertama dan kedua sebagai batu asas bagi menyediakan para duat yg mampu memikil tanggungjawab dakwah bagi meneruskan perjuangan di dalam masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya.
Tujuh tertib amal tersebut adalah:
i) Pembentukan diri.
ii) Pembentukan keluarga
iii) Pembentukan masyarakat
iv) Membebaskan hukumah (negara) dari penjajahan
v) Mendirikan negara di atas sistem Islam
vi) Membina dan membangunkan kembali sistem khalifah
vii) Menjadi Ustaz kepada alam (World order)
Tertib 1, 2 dan 3 adalah tertib yang akan sentiasa diperbaiki dan cuba untuk dipertingkatkan di dalam organisasi MSM sama ada sebelum atau telah sempurnanya tertib yang seterusnya. Ia bagi memastikan bahawa setiap ahli MSM akan sentiasa menjadi hamba Allah yang meningkatkan diri dan Iman, keluarga dan masyarakat walau dalam keadaan senang atau susah, kaya atau miskin, walau dalam keadaan payah atau mudah.
3. Komponen tembok batu-bata.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang berjuang pada jalanNya bersaf-saf
seolah-olah mereka adalah batu-bata yang tersusun kukuh”
(As saf : 2)
Daripada ayat ini, MSM mengambil barisan yang dibina oleh individu2 muslim yang berkualiti bergabung di dalam jamaah Islam dan diikat oleh ukhuwah dan persaudaraan Islam.
Daripada Abu Musa:
Rasullulah saw bersabda:
“Seseorang yang beriman dengan saudaranya yang beriman adalah seperti batu-bata yang menguatkan di antara satu dengan yang lain.” Sedang baginda rasullulah saw berkata demikian, Rasullulah mencantumkan tangannya dengan menselang selikan jari-jarinya.
(Bukhari)
Binaan batu-bata ini pula membawa beberapa kupasan akan aspirasi MSM. Di antaranya:
1. Membentuk insan yang kukuh dari segi ruhnya, akalnya dan jasmaninya. Membentuk manusia yang menjadi rahib yang menangis beribadat pada malam harinya dan askar yang berani pada siang harinya.
2. Dan setiap individu yang kukuh ini di susun dengan tersusun di dalam satu tanzim yang mana setiap individu ini diikat dan dilekatkan oleh ukuwah sebagai perekat bagi menjamin keutuhan binaan tersebut bagi menghadapi musuh dan sebarang serangan luar atau dalaman. Kerana ini juga sistem usrah MSM yang membentuk unit-unit kecil di terapkan dengan 3 rukun utama usrah yakni Taaruf (berkenalan), Tafahum (saling faham memahami) dan Takaful (tolong menolong).
3. Menyedari langkah tujuan yang jauh dan panjang, MSM berpandangan proses pembentukan diri menjadi ‘batu-bata’ yang kukuh lagi mengukuhkan ini adalah penting bagi menjamin nafas panjang diri daie (pendakwah) dan jamaah.
4. Tiga lembaga manusia dengan tiga warna berbeza.
Tiga lembaga manusia yang berpindah dari warna hitam ke kelabu dan kemudian putih menunjukkan moto MSM, Membina Syakhsiah Muslim dan penekanan kepada tarbiyyah dan pembinaan individu dalam program dan aktiviti MSM. MSM ingin menjadi salah satu pemangkin kepada perubahan individu, keluarga dan masyarakat daripada seorang muslim yang kurang baik menjadi muslim yang baik atau daripada seorang muslim yang baik kepada yang lebih baik. Tidak cukup dengan itu, tarbiyah MSM diwujud untuk mempastikan bahawa perubahan ini kekal, si pelakunya beristikamah dan perubahannya meningkat dan bukannya menurun. Akhlak dan iman yang dicontohi dan ingin di capai adalah akhlak dan iman seperti yang di gariskan oleh Al-Quran, baginda Rasullulah saw dan para sahabat baginda.
Nasyid MSM
Bermula di tahun tujuh puluh lima
Hasil usaha beberapa saudara
Bersatu menegakkan tenaga
Bersama bergandingan bahu
Tertubuh Majlis Syura Muslimun
Membina Syakhsiah Muslim dan Muslimah
Berasaskan panduan al-Qur’an dan Sunnah
Tidak ada satu keraguan
Penuh dengan rasa keyakinan
Berterusan maju kehadapan
Chorus
Khilafah Islamiah menjadi impian
Manhaj yang rabbani menjadi landasan
Da`wah dan jihad jadi penghayatan
Berteraskan iman dan pengorbanan
Beramal dengan penuh keikhlasan
Tingkatkan kefahaman amal jihad dan korban
Tetap dan teguh pendirian
Jalin ikatan persaudaraan
Disirami thiqah dan ketaatan
Chorus
Risalah Rasulullah terus disebarkan
Fikrah Islamiah menjadi dokongan
Kesatuan ummah turut jadi tujuan
Syurga Firdaus menjadi idaman
Sambutlah seruan ikhwah dan akhawat
Dengan hati dan jiwa yang penuh bersemangat
Kukuh dan kuatkan keimanan
Rajin dan gigih dalam amalan
Melangkah ke arah kejayaan











