Apa Makna IHSAN kepada Ibu Bapa

Posted on 09 November 2009 by admin

Oleh: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria (dipetik dari http://abuamru1208.blogspot.com)

Assalamualaikum wrt. wbt.

Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan. Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang memperkatakan tentang itu.

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra’ Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan “ah”** dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah..”Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku.”

** mengucapkan kata “ah” kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:

1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah Ta’ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.

2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa, sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: “Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?” Nabi menjawab: “Solat dalam waktunya.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?”. Nabi saw menjawab: “Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?” Nabi saw menjawab: “Berjihad fi sabilillah.”

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi saw menjadikan ‘birrul walidaini’ -berbuat baik kepada ibubapa- seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.

3. Di antara makna ‘birrul walidaini’ dan ‘ihsan’ kepada kedua ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf. Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?” Rasulullah saw menjawab: “Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi membalas dengan memaki ibu dan bapanya.”

4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara’, sama halnya ‘birrul walidaini’ bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan maksiat.

5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: “Saya ada seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: ” Wahai Abdullah ibnu Umar! Ceraikan isterimu itu.” (Hadith Hasan lagi Sahih).

6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Bapa kamu.”

Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

7. Tidak dikhususkan ‘birrul walidaini’ hanya kepada ibubapa yang muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun mereka kafir.

8. Termasuk yang dimaksudkan ‘ihsan’ kepada kedua-dua ibubapa ialah apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk berjihad, maka Nabi saw bertanya: “Adakah kedua ibubapamu masih hidup?” Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: “Maka untuk kedua-dua ibubapamu hendaklah kamu berjihad.” (Riwayat Muslim).

Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: “Ya, masih hidup dan aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw bersabda: “Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis.”

Dalam riwayat yang lain lagi…. Nabi saw bersabda: “Tidur kamu bersama kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih afdhal daripada kamu berjihad bersama aku.”

9. Ulama’ berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?

Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak perlu.

10. Sebagai penyempurna dalam ‘birrul walidaini’ ialah menghubungkan silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa…

Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan berbapakan da’ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu hari nanti. Ingatlah kisah ‘Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan… Bagaimana ibu-ibu dan bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya; bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh….

Sila rujuk - al-Jaami’ Li Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah.

5 Comments For This Post

  1. jasmin Says:

    saya seorang gadis berusia 25 tahun,ada masalah berkaitan dengan memilih pasangan hidup, ayah dan ibu saya tidak bersetuju dengan pilihan saya dengan alasan dia tidak mempunyai pendidikan macam saya, saya memiliki ijazah sarjana muda. adakah sy tergolong dalam golongan yg menderhaka sekiranya saya tetap memilih dia sebagai pasangan hidup atau apakah cara yang terbaik untuk membolehkan kedua ibu bapa saya bersetuju dengan pilihan saya.

  2. admin Says:

    Beberapa jawapan daripada sahabat2 akan saya kepilkan. Semoga menjadi panduan

  3. admin Says:

    Sahabat 1

    Assalamualaikum,

    Ana rasa persoalan complicated sememangnya tiada jawapan yang mudah. Ada lebih banyak lagi variable yang ada dan perlu diambil kira yang tidak dikemukakan di dalam soalan tersebut. Persoalan ibubapa tidak bersetuju juga tidak semudah sebab A, B & C. Ibubapa sememangnya mahukan yang terbaik pada anak masing2.. dan neraca yang diukur adalah bergantung kepada neraca yang mereka rasakan terbaik… Mungkin neraca berharta banyak menjadi keutamaan, mungkin juga rupa atau keturunan.. Mungkin bagi senior i/a neraca da’wah yg menjadi ukuran apabila memilih calon menantu… WaAllahu a’lam, anak2 dan ibubapa yang mempunyai neraca berbeza akan ada perbezaan pendapat…Mungkin juga ada ibubapa yang berkeras utk disusun mengikut pilihan org tua..
    Prinsip2 yang penting.

    1) Perlu tarik benang dalam tepung perlahan2. Gerakan mcm tak nampak, tapi akhirnya benang selamat keluar tanpa runtuhnya bukit tepung. Hati mak ayah tetap perlu dijaga macammana pun, seperti yang disebutkan di bawah.

    2) Istikharah, istikharah dan istikharah. Kesemua ketetapan Allah telah pun ditulis di Luh Mahfuz… kita manusia hanya mampu merancang… .

    Ana cadangkan perlu disummarisekan perkara-perkara penting yang perlu diconsider. Orang tengah bercinta sememangnya semua dilihat indah. Perlu byk berbincang dengan ahli keluarga yang lain, dan berikan masa supaya dapat buat keputusan secara objektif. InsyaAllah ketetapan Allah akan berlaku juga.. WaAllahu a’lam.

  4. admin Says:

    Sahabat 2:

    Wsalam…

    ditakdirkan sipenanya teruskan berkahwin, dan 25 tahun akan datang anak penulis pula mengulangi cerita sama .. Apa agaknya perasaan penulis.?
    sudah tentu ibu bapa mempunyai hak barang sedikit setelah bertungkus lumus siang dan malam, berbelanja wang ringgit, menaja persekolahan , puluhan tahun berkorban masa…
    apalah sangat dibandingkan dengan siteruna yg dikenali setaun dua :-) andaipun syarie membolehkan pun , berbaloikah bermasam muka dan menderhaka?

    wallahualam. ..

  5. admin Says:

    Sahabat 3:

    salam
    Ni kena org yg ber’tauliah’ jawab ni.
    Just sedikit pandangan drp ana.

    Rasulullah memberi panduan dalam memilih pasangan. pilih pasangan based on 4 ciri:

    1. paras rupa
    2. berharta
    3. baik keturunannya
    4. agamanya

    maka bahagialah orang memilih pasangan kerana agamanya.

    perkahwinan adalah suatu perkara ibadah, sunnah dan fitrah. kena jelas kenapa kita nak berumah tangga. ia merupakan pelaburan dunia dan akhirat. ia juga boleh menjadi pintu kepada syurga dan neraka kita.

    kalau pasangan tersebut baik akhlaknya, mempunyai asas agama yg baik (seperti menjaga solat), hormat org tua, hormat wanita, alhamdulillah elokla dipertimbangkan utk menjadi calon suami.

    mengenai mak ayah pula. mereka adalah yg paling hampir dgn kita mereka sangat sayangkan anak-anaknya, mereka tak nak kita mereka susah di masa hadapan. jadi kalau kita rasa bakal suami kita baik (spt garis panduan rasulullah tadi), elokla di bawa berbincang secara baik-baik dgn mereka. kenalkan bakal suami tu kepada keluarga. pandai-pandaila ambil hati orang tua. berlembut dan bersabarlah. banyakkan solat istikharah dan hajat semoga Allah beri petunjuk apa yg terbaik utk kita.

    setelah berusaha, kalau mak ayah masih bertegas juga tak nak, elakkan pergaduhan dan ketegangan dalam keluarga. kita nak bina rumah tangga ni, nak besarkan lagi keluarga dan silaturahim bukan sebaliknya. mungkin ada yang lebih baik buat kita di masa depan. wallahu’alam.

Leave a Reply

Video MSM

 

September 2010
M T W T F S S
« Aug    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930