Assalamualaikum i/a yang dikasihi sekalian
Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad ibn Abdullah, utusan Allah dan penghulu segala nabi.
كل عام وأنتم بخير،
Saya ingin mengucapkan Selamat Meyambut Maal Hijrah kepada semua ikhwah & akhawat sekalian. Sedar atau tidak, kita telah melangkah ke tahun baru, tahun 1431 Hijriyyah. Mungkin sebahagian kita telah menanam azam baru atau menyambutnya dengan majlis-majlis yang tertentu atau mungkin sebahagian lagi membiarkan ia berlalu begitu sahaja sepertimana hari-hari lain. Apapun sikap dan tindakan kita terhadap kedatangan tahun baru ini, kita sewajarnya menyedari akan sebuah peristiwa penting yang berlaku di dalam lipatan sejarah Islam yang agung.
Apakah sebenarnya Hijrah? Hijrah bukan perlarian
Sebahagian besar daripada orientalis melihat peristiwa hijrah kaum muslimin ke Yatsrib sebagai satu tindakan melarikan diri daripada penindasan dan kekejaman pihak musyrikin Quraisy. Pandangan ini mungkin juga telah menjalar ke benak pemikiran masyarakat muslim. Kita harus sedari akan kepentingan peristiwa hijrah ini dalam perkembangan Islam dan ia bukanlah tindakan si pengecut. Mana mungkin seorang pengecut boleh menjanjikan kekuasaan terhadap sebuah kerajaan di Parsi. Hijrah bukan lari medan pertempuran.
Hijrah langkah strategik
Hijrah ke Madinah adalah satu tindakan yang berbeza berbanding hijrah ke Habsyah. Hijrah ke Habsyah adalah bertujuan mendapatkan perlindungan tatkala umat muslimin ditekan dan ditentang habis-habisan oleh pihak musyrikin. Sebelum penghijrahan ke Madinah, Rasulullah telah memulakan dakwah terhadap beberapa penduduk Madinah yang diperlihatkan dalam peristiwa Bai’atul Aqabah yang pertama dan kedua. Seterusnya, baginda s.a.w. telah mengutuskan Mus’ab bin Umair dan juga melantik 12 orang naqib dalam usahanya menyebarkan dakwah Islam di Madinah. Hijrah ke Madinah bermula dengan pembinaan asas Islam yang kukuh di dalam masyarakat, menyediakan mereka dari sudut fizikal, mental dan spiritual.
Madinah sebuah anugerah
Keberhasilan umat Islam dalam menguasai Madinah dan menubuhkan Daulah Islamiyyah yang pertama bukanlah satu perkara magis yang berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah satu anugerah daripada Ilahi setelah umat muslimin berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan pengorbanan yang besar dengan harta dan jiwa mereka.
Mereka telah berhijrah terlebih dahulu
Kembali melihat sejarah Islam, kita akan dapati para sahabat r.a. telah lama berhijrah sebelum berlakunya perjalanan ke Madinah. Hijrah yang saya maksudkan adalah perpindahan daripada jahiliyyah kepada cahaya Islam. Mereka telah melalui satu proses revolusi minda dan kefahaman yang membersihkan hati dan akidah mereka. Islam telah muncul dengan mencetuskan revolusi dalam masyarakat Makkah walaupun kita tidak dapat melihat sebarang penentangan fizikal.
Hijrah sebuah revolusi manusia
Kisah pengislaman Bilal r.a. telah membuktikan bahawa Islam mampu mengubah persepsi dan pemikiran manusia. Beliau telah bebas sebelum dibebaskan oleh Abu Bakar r.a. daripada penghambaan. Bermula daripada individu, Islam juga menganjurkan perubahan dalam masyarakat. Hijrah memperlihatkan ukhuwwah Islamiyyah yang terjelma dalam masyarakat muslim seperti kisah Abdur Rahman Al-Auf r.a. dan Sa’ad bin Ar-Rabi’ r.a. yang dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w.
Islam telah menukar asas-asas ikatan masyarakat dan membina sebuah ummah yang bersatu atas dasar aqidah Islamiyyah. Lantas menghapuskan prejudis qabilah, negara, bangsa, daerah atau warna kulit yang menjadi punca utama pertumpahan darah di dunia ini.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu
(Surah An-Nisa’: 1)
Islam milik siapa yang mahu
Islam bukanlah milik sesebuah bangsa atau kaum, baik Arab, Parsi ataupun Melayu. Peristiwa hijrah menunjukkan bahawa Islam akan dimiliki mereka yang beriman dengannya. Selama 13 tahun baginda s.a.w. telah berusaha berdakwah kepada penduduk Makkah, tetapi hanya sekumpulan kecil sahaja yang menerimanya. Dengan keizinan Allah, Rasulullah s.a.w. telah bertemu 6 pemuda yang telah ditentukan oleh Allah menjadi perintis kepada dakwah Islamiyyah di Madinah. Kemudiannya, Islam telah berkembang ke seluruh ruang di Madinah. Mereka telah menyediakan segala kekuatan dan potensi untuk menerima kedatangan Rasulullah s.a.w. untuk memimpin mereka. Islam diterima di tanah yang asing, jauh dari tempat asalnya. Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz dan Salahudin Al-Ayubi pula telah menyelamatkan maruah umat Islam walaupun mereka bukan di kalangan Arab.
وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
Dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan menggantikan dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu
(Surah Muhammad: 38)
Jelaslah bahawa hijrah merupakan suatu peristiwa yang penting dalam Islam. Hijrah merupakan turning point dalam agenda dakwah, Islam kini telah muncul sebagai sebuah daulah. Daulah Islamiyyah inilah seterusnya menggerakkan usaha dakwah, mengembangluaskan penguasaannya ke seluruh alam.
Kita sebagai pekerja-pekerja di dalam Gerakan Islam sewajarnya menyedari akan keadaan umat kini yang memerlukan kepada satu perubahan. Perubahan yang kita maksudkan telah pun dijelaskan melalui peristiwa hijrah ini. Kita akan membawa umat kepada satu era peralihan, daripada penindasan kepada penguasaan. Islam tidak akan tertegak dalam runtuhan jahiliyyah. Islam perlu keluar daripada kebusukan jahiliyyah dan dibina atas tapak yang suci murni. Benih yang baik, tanah yang baik akan menghasilkan tuaian yang baik.
Marilah kita insan-insan yang bersama-sama memperjuangankan ad-Din ini berpergian dengan segera apabila perintah untuk berjuang disemboyankan. Kita berjuang untuk kemenangan yang dijanjikan Allah dengan penuh kebijakan strategi dan pergantungan kepada Allah. Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amal Islami dan semoga semangat jihad dan pengorbanan akan sentiasa segar di dalam jiwa kita. Marilah kita mulakan Hijrah, menuju sinar cahaya….
Abdul Azim Ismail
Ameer, Majlis Syura Muslimun UK & Eire
1 Muharram 1431H











