Archive | February, 2010

Perutusan Sempena Maulidur Rasul 1431H

Posted on 26 February 2010 by admin

Apa Ertinya Menyambut Maulidur-Rasul

Ikhwah dan akhawat fillah,

Pada bulan Rabiul-Awal ini kita menyambut suatu hari yang bersejarah dan sentiasa dalam kenangan setiap Muslim di seluruh dunia. Bulan ini adalah merupakan bulan kelahiran Nabi kita Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam). Dengan kasih dan belas Allah Taala, Islam yang kita meng’akadkan diri kita kepadanya sehingga terkesan dan menerobos ke dalam hati-hati kita, sampai kepada kita melalui Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam). Maka tidak hairanlah betapa seluruh Muslim cinta kepadanya kerana budinya tidak akan dapat berbalas sehingga ke akhir zaman walau seluruh umat Islam bergabung untuk berbuat demikian. Wajarlah kita mengucapkan salallahu ‘alaihi wasalam setiap kali namanya disebut sebagai penghormatan, tanda kasih dan terima kasih yang tidak terhingga, tapi lebih-lebih lagi ia adalah suatu sunnah.

Kecintaan terhadap Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) akan lebih mengembang mekar dan mewangi apabila kita membaca dan menghayati Al-Quran, As-Sunnah dan Seerah. Pernah Umar (radhiallahu ‘anhu) terpaksa berfikir dan mendalami hatinya semula ketika menjawab dia mencintai dirinya selepas Allah Taala, dikoreksi dengan penuh rasa kasih sayang oleh Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) yang mana selepas Allah Taala, Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) lah yang seharusnya dicintai. Yang mana ia adalah konsep iman sepertimana kita tahu.

Apabilah cinta yang meruntun jiwa dan raga ini telah bersulam maka mudahlah kita mengikuti jejak langkahnya sebagai manusia contoh, qudwah hasanah. Allah berfirman di dalam surah Al-Ahzab:21 yang bermaksud:

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik (uswah hasanah) bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah”

Dan apabila Aishah (radhiallahu’anha) ditanya akan akhlaq Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam), Aishah (radhiallahu ‘anha) pantas menjawab dengan jawapan ringkas, padat dan jitu, akhlaq Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) adalah “Al-Quran”.

Jika kita mengambil perkaitan ini dan menjadikan ia suatu deduksi matematik, kita akan dapati:

“uswah hasanah = akhlaq = Al-Quran”

Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) adalah seharusnya menjadi ikutan kita, setiap kata-katanya, perbuatan dan gerak gerinya adalah contoh buat umat akhir zaman untuk diteladani. Segala aspek akhlaqnya, sebagai pemimpin, ahli masyarakat, suami, ayah, datuk, anak saudara, sahabat, orang yang lebih tua, orang yang lebih muda, interaksi dengan bukan Islam bahkan musuh Islam sendiri. Dan landas fundamental yang utama untuk semua ini tidak lain adalah Al-Quranul-Kareem!

Ikhwah dan akhawat fillah, (sila rujuk Tafsir ayat-ayat pilihan: Sayyid Qutb)

Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) tidak dilahirkan sebagai pendidik atau penasihat yang boleh diterima atau ditolak didikan dan nasihatnya. Malah sebaliknya, Muhammad Rasulullah (salallahu ‘alaihi wasalam) diutuskan supaya dita’ati dengan izin Allah Taala.

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul melainkan untuk dita’ati dengan izin Allah…” (An-Nisaa: 64)

Hakikat ini mempunyai makna yang sangat penting, Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) bukan sekadar penggerak kesedaran hati nurani dan kemudian melaksanakan syi’ar-syi’ar ibadat, atau pemberi peringatan dan nasihat dan kemudian berlalu pergi tanpa mempunyai kuasa otoriti terhadap seruan dan risalahnya. Tiada seorang pun Rasul diutuskan Allah melainkan semuanya harus di”ta’ati” oleh manusia dengan keizinanNya. Jika tiada kuasa otoriti ini, tinggallah ia sebagai seruan yang biasa dan boleh dipersendakan dan dipermain-mainkan. Tidak sama sekali!

Kerasulan ini mempunyai “kuasa” supaya Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) dita’ati bagi membolehkan ad-Deen diterap dan dicernakan oleh manusia, sebagai sebuah sistem yang hidup dan realistik, lengkap dengan segala bentuk organisasinya, perancangan dan penyusunan programnya, nilai estetika dan undang-undangnya, akhlaq dan adab bicaranya dan syi’ar-syi’arnya.

Dari sinilah sejarah Islam yang kita tahu hari ini telah terpahat dan masyhur. Melalui keta’atan terhadap Muhammad Rasulullah (salallahu ‘alaihi wasalam), umat Islam telah berkembang sebagai suatu organisasi dakwah dan tabligh, dan sebagai suatu sistem hidup, kemudian sebagai suatu bentuk pemerintahan dan seterusnya kekhalifahan. Segalanya berlandaskan keta’atan terhadap Risalah dan Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) sebagai Rasul Allah.

Ikhwah dan akhawat fillah,

Tanggungjawab manusia terhadap tuhannya adalah seperti yang telah digariskan oleh rukun iman dan Islam, akan tetapi tanggungjawab manusia terhadap manusia yang lain seperti yang telah ditunjukkan oleh Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) adalah untuk berinteraksi dan berdakwah kepada masyarakat supaya Islam tersebar dan gemilang. Ini adalah Sunnah yang sering dilupakan. Bukankah Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam) itu rahmatan lil ‘Alameen, dan kita sebagai umat ikutannya harus juga begitu?

“Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan untuk rahmat seluruh alam.” (al-Anbiyaa:107)

Kita bukan hidup di dalam vakuum atau di alam sendiri dan kemudian mengharapkan Jannah. Ikhwah wa akhawat itu bukan Sunnahnya, kita membuat kebaikan dan perbaikan di dalam diri kita dan masyarakat dan dalam masa yang sama kita mencegah maksiat dan dosa di dalam diri kita juga di dalam masyarakat. Ia seharusnya berjalan secara parallel bukan berasingan. Kerana kita adalah umat yang terbaik!

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)

Ikhwah dan akhawat fillah,

Marilah kita bersama-sama menelusuri jejak Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam). Menjaga akhlaq sesama kita demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini sepertimana akhlaq Muhammad (salallahu ‘alaihi wasalam). Inilah penghayatan yang dianjurkan MSM setiap kali Rabiul-Awal menjelang.

Allah (subhana wa ta’ala) sangat menganjurkan kita berselawat, insya-Allah marilah kita berselawat bersama-sama:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan padanya.” (Al-Ahzab: 56)

“Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad, wa ‘ala aali saiyyidina Muhammad
Kama sholaita ‘ala sayyidina Ibraheem, wa ‘ala aali sayyidina Ibraheem
Allahumma barik ‘ala sayyidina Muhammad, wa ’ala aali sayyidina Muhammad
Kama barakta ‘ala sayyidina Ibraheem, wa ‘ala aali sayyidina Ibraheem
Fil ‘alameena innaka Hameedun-Majeed.”

mr

mmm

Uhibbukum fillah.
Wakil Qiyadah
MSM2009/10

Comments (0)

12 Rabiul Awal: Soalnya Apa ??

Posted on 26 February 2010 by admin

“Rasulullah dilahirkan saat matahari terbit. Ini menunjukkan bahawa kelahirannya merupakan awal risalah. Risalah untuk seluruh manusia.”

“Dia meninggal juga saat matahari terbit. Ini menunjukkan bahawa risalahnya masih senantiasa abadi.”

Pagi isnin itu, tanah Arab huru-hara. Bahkan, sukar sekali untuk Umar mempercaya. Muhammad kesayangan mereka selama-lamanya telah pergi. Rasulullah tidak wafat, kata Umar, tetapi hanya pergi menemui Tuhan seperti mana Musa pernah lakukan. Tenang, Abu Bakr mengungkap satu frasa; siapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah, Allah itu abadi dan tidak akan mati. Lalu, kedengaran semua orang turut ikut kumat-kamit membacakan ayat 144 dari surah Ali ‘Imran.

Sejurus selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakr mengajak Umar ke rumah Ummu Ayman. Selepas disampaikan berita kewafatan Rasulullah, Ummu Ayman menangis dengan tangisan yang berat.

“Apakah yang ibu tanggung dalam tangisanmu wahai Ummu Ayman? Apakah tidak ibu ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah itu adalah jauh lebih baik buat Baginda saw?”

Lantas kata Ummu Ayman, “Sesungguhnya aku, demi Allah, mengetahui akan benar katamu, bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik buat Rasul-Nya. Tangisanku bukanlah kerana itu wahai Abu Bakr dan Umar. Akan tetapi… aku menangis dan hiba dengan berita yang kalian bawa, kerana sesungguhnya wahyu telah terputus dari langit… buat selama-lamanya…”

* * * * *

Pada isnin itu ada sebuah pengajaran sederhana; La ilah illa Allah, tunjang Risalah. Sepertimana pemergian Rasulullah buat kita teresak-esak, sisi lainnya pada pemergian itulah titik mula kisah luar biasa mereka; Abu Bakr, Umar, Uthman, ‘Ali dan juga Kita.

Oleh kerana kenabian bukan satu syarat untuk Risalah terus berjaya, harus pemergian seorang da’ie itu menghasilkan ribuan da’ie-da’ie yang lain. Malah kadang-kadang, pemergian itu memang perlu supaya yang lain-lain akan punyai tempat untuk lebih maju dalam Risalah. Tidak seperti harimau dan belangnya, kematian kita sudah pasti tidak mahu sekadar tinggalkan nama. Lalu, kita bertanya-tanya, “…pemergian kita akan meninggalkan berapa?”

Wa Shallallahu ‘ala Sayyidina Muhammad al-Nabi al-Ummi wa ‘ala Aalihi wa Sahbihi wa Sallim Tasleeman Katheera, ‘Adada Maa Ahaata Bihi ‘Ilmuhu wa Khatta bihi Qalamuhu wa Ahsaahu Kitaabuh.

nnnn

Ammar Roslizar

Comments (0)

Nabiku & Aku

Posted on 26 February 2010 by admin

“Ukhti, esok Maulud Nabi.”

Perasaan yang mula-mula hadir ketika aku mendengar perkara itu dari seorang sahabat, ialah sedih. Entahlah, hati serta-merta menjadi sayu. Airmata terasa bergenang.

.

Aku teringat kepadanya. Nabiku..

رَضِيْتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِْسْلاَمِ دِيْنًا وَبِحَمَّدٍ نَبِيًا وَ رَسُوْلاً

“Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai Nabiku dan Rasulku.”

.

Ya, jika ada antara kita yang terlupa, maka izinkanku mengingatkan. Aku ada seorang Nabi… Allah yang beri. Allah telah mengurniakanku seorang Nabi untuk aku taati. Dan Nabi itu telah bersusah-payah, mengorbankan seluruh hidupnya untukku. Nabi itu telah menderita, terseksa, menahan cacian dan makian, menahan lapar dan dahaga, terluka dan cedera parah, serta menyabung nyawa untukku. Suka duka dirinya, tidak lena tidurnya, keluh-kesahnya, kebimbangannya dan airmatanya semata-mata adalah kerana merisaukan jika aku tidak jumpa jalan pulang ke syurga. Dan Nabi itu tidak meminta balasan apa-apa pun dariku. Bahkan semuanya dilakukan dengan rasa rindu kasih dan rela. Sampai ke detik-detik akhir hayatnya, ketika sakit menghadapi malaikat maut, dia masih menyebut-nyebut tentang aku umatnya.

.

Di atas penat-lelahnya, darahnya dan pengorbanannya, maka aku dapat islam hari ini. Di atas penderitaannya, maka aku ada peluang untuk ke syurga.

.

Tetapi aku pilu dengan keadaan umat pada hari ini. Islam yang dengan bermati-matian diperjuangkan dan diwariskan oleh Nabiku itu tidak dianggap mulia sekarang. Bahkan ia dipandang buruk, bosan, mundur, ganas, bahaya, kolot, merugikan, merosakkan dan menyusahkan.

Umatnya pula, dipijak-pijak, dibunuh sesuka hati, miskin dan tertindas. Sebahagian yang lain pula, sudah lupa diri dan lupa orang lain, sudah riang gembira masuk dalam kepompong gelap, hanyut ke lautan keingkaran dan karam.

.

Maka malulah aku kepadanya.. malulah aku kepada Rasulku itu. Sunnahnya yang terbesar masih belum cukup kulaksanakan – dakwah. Selawatku juga tidak seberapa. Pasti dia sedih dengan keadaanku. Mungkin juga marah padaku.

.

Maka apa yang dapat aku lakukan pada hari Maulud Nabi?

Aku menangis. Kerana aku tidak tahu. Aku menulis. Dan aku membaca lagi tentang dirinya. Cuma menambah ledakan tangisku saja. Maafkanku. Aku telah banyak mensia-siakan pengorbanan Rasulku itu dan orang-orang islam terdahulu. Semoga Allah membayar semua penderitaannya dengan kebahagiaan di syurga sana, dengan nikmat-nikmat terhebat yang tidak mampu terfikir oleh akal manusiaku, memberi dia kedudukan yang paling tinggi dan terpuji.

.

Dan moga Allah menyampaikan padanya salam rinduku……

Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad.

Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad.

Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad.

Wa ‘ala aalihi wasohbihi wasallam.

solli2

mmm

Fadzilah Hanim

Comments (0)

Saatnya Kemenangan

Posted on 24 February 2010 by admin

Bismillahirrahmanirrahim…dan Assalamualaikum.

“Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan KEMENANGAN yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin.” [As-Shoff, 61 : 13]

Siapa yang tidak suka akan kemenangan? Kemenangan, suatu karunia dari-Nya. Ya, suatu karunia. Dan siapakah yang berhak untuk menerima kemenangan agung ini?

Adakah mereka yang berpura-pura?
Adakah mereka yang bermain-main?
Adakah mereka yang pengecut?
Adakah mereka yang menyembunyikan kebenaran?

Di sini ada suatu definisi tentang erti kemenangan yang hakiki:

“Kemenangan adalah ampunan. Kemenangan adalah rahmat. Kemenangan adalah pahala. Kemenangan diberikan Allah kepada sesiapa saja yang diinginkan-Nya. Namun kemenangan adalah sia-sia, bila hanya melahirkan penderitaan semesta. Kemenangan sang juara, menjadi tak bermakna bila meninggalkan ribuan hati yang terluka. Maka sahabat, berjuanglah, raih kemenangan! Tanpa harus merasa menjadi sang pemenang.” (Izzatul Islam - Arti Kemenangan)

Hakikatnya, suatu kemenangan itu tidak akan tercapai dengan mudah. Tidak percaya?

Lihat kembali sirah ya sahabat! Adakah Rasulullah SAW hanya duduk bergoyang kaki, tanpa apa-apa usaha? Adakah dengan mengetahui bahawa Islam itu adalah agama yang benar, Rasulullah menunggu sahaja tiba masa Allah membinasakan kaum kuffar di Hijaz Arab atau di kawasan-kawasan yang ditakluki kemudiannya oleh para Muslimin? Tidak sama sekali.

Baginda hidup untuk berjuang. Baginda menghabiskan hidupnya untuk dakwah, menyeru sekalian manusia untuk menyembah-Nya. Hinggakan Allah mengiktiraf sempurnanya agama baginda dalam Surah Al-Maidah, ayat ke-3. Baginda menjadi saksi yang sebenar-benarnya terhadap Syahadah di bumi ini. Ada sesiapa hendak membantah? Baginda sendiri tidak dapat menyaksikan Islam berkembang hingga menguasai dua pertiga dunia. Namun, ya, kemenangan telah berjaya digapai oleh umat Islam pada suatu masa dahulu, setelah suatu usaha yang panjang. Kemenangan yang diberikan oleh-Nya dan hanya oleh-Nya.

Contoh yang lain, adakah Sultan Muhammad Al-Fateh duduk bergoyang kaki sahaja dalam usaha menampung Constantinople? Tidak, hinggakan kapal-kapal perang diangkut ke atas daratan semasa kondisi perang. Oh ya, jangan lupa ya, baginda tidak pernah meninggalkan solat malam semenjak baligh. Betapa rapatnya hubungan baginda dengan Allah. Suatu kemenangan yang agung, yang didambakan selama 800 tahun oleh para sahabat.

Kesimpulannya, ditimbulkan satu persoalan di sini - kepada siapakah Allah akan mengurniakan kemenangan yang agung? Berdasarkan dua contoh di atas, dan sebenarnya lebih banyak lagi contoh yang boleh kita sama-sama fikirkan, maka Allah hanya akan memberikan kemenangan yang agung kepada mereka yang dikasihi-Nya. Mudah, itu sahaja.

Mudah untuk dikatakan, amat susah atau tidak mungkin untuk digapai jika kita hanya berbicara kosong. Muhasabah balik, bagaimana hubungan kita dengan-Nya.

Dalam dunia Islam hari ini, di mana Islam ditindas, Islam ditekan, dan Islam diberikan diskriminasi yang amat dahsyat, sudah pasti kita tertanya-tanya bilakah janji kemenangan yang Allah berikan itu, tidak begitu? Sebelum kita bertanya tentang itu, tanya balik diri kita, rapatkah hubungan kita dengan Allah? Ingat, Allah hanya akan memberikan kemenangan yang agung, jika kita dapat meraih cinta-Nya.

Dengan diri kita yang tidak maksum dan penuh dosa, mungkin ramai yang berkata, “Tidak bolehlah, sahabat-sahabat Rasulullah dulu itu manusia yang dipilih…kita ini apa sahaja, manusia biasa.”

Bangkitlah wahai golongan yang mengatakan hal ini! Rasulullah juga manusia. Sultan Muhammad Al-Fateh juga manusia. Tetapi mereka berupaya menggapai kemenangan yang agung. Jadi, tidak mustahil bukan?

Dalam harakah Islamiah, pelbagai perancangan diutarakan bagi melaksanakan usaha dakwah. Pelbagai keringat dihabiskan untuk berdakwah - harta, masa dan tenaga. Pelbagai metode dilaksanakan, sama ada secara melibatkan pengaruh, kegiatan masyarakat, kegiatan dakwah fardiah, mahupun ceramah-ceramah. Namun, masih belum menggapai kemenangan yang agung.

Tanya kembali, dalam setiap perancangan atau pelaksanaan yang dilaksanakan, ada atau tidak pergantungan diletakkan kepada Allah?

“Victory is a mere gift from Allah” - Kata-kata seorang sheikh

~Mari sama-sama secara berterusan mentajnidkan niat kita~
hhh
hhh

Comments (0)

Tunggu Kami Ya Rasulullah !!

Posted on 23 February 2010 by admin

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (33: 21)”

Baginda saw juga tidak lahir takjub seperti Adam, Hawa mahupun Isa. Malah sebenarnya, Baginda saw hadir ke bumi Allah tanpa sempat melihat wajah seorang ayah. Bagaimana rupa Abdullah, entahlah Baginda saw tidak tahu. Baginda saw bukanlah kecuali hanya seorang manusia biasa seperti kita-kita juga. Tetapi berbekalkan nur Tuhan dan inspirasi al-Quran, Baginda saw membina sebuah peradaban manusia. Subhan Allah.

Baginda saw seperti anak-anak kecil yang lain. Cuma, ibu dan datuk Baginda saw telah pergi awal. Apakah sebenarnya ya perasaan seorang anak kecil melihat ibunya meninggal dunia di depan mata, nun di tengah padang pasir yang tandus dan kering? Pun begitu, di tangan Baginda saw sebuah peradaban manusia terbina. Subhan Allah.

Baginda saw seorang laki-laki, seperti sebahagian dari kita-kita. Cuma, Baginda saw titiskan air mata ketika Zaynab ibn Muhammad terpaksa pergi dahulu. Baginda saw seorang ayah yang terbaik, walaupun tidak pernah sekalipun Baginda saw fahami dan rasai arti kasih sayang seorang ayah. Air mata pernah juga sebenarnya mengalir di pipi saat-saat Ibn Mas’ud membacakan sebahagian surah an-Nisaa’ untuk Baginda saw, “Dan bagaimanakah, jika Kami datangkan seorang saksi dari setiap ummah, dan Kami datangkan engkau sebagai saksi kepada mereka?” [4 : 41] Dengan air mata itu, Baginda saw hadiahkan sebuah peradaban dunia. Subhan Allah.

Baginda saw juga seorang perwira. Di tangan Baginda saw, telah ramai hati-hati yang tunduk membesarkan Allah Taala. Baginda saw pernah menegur Khabbab al-Arrat kerana tergesa-tergesa, hanya kerana tidak tahan dengan siksaan Quraisy. Saat lain pula, Baginda saw sempat berjenaka dengan Ali ibn Abu Talib ketika menjamah kurma bersama para sahabat. Pada saat makan kurma itu, biji kurma bekas Ali diletakkan di depan Baginda saw. Ketika hampir selesai, Ali berkata “Ya, Rasulullah kelihatan engkau sangat lapar kerana makan kurma begitu banyak, lihat biji kurma itu banyak di depan engkau.”

Kemudian Baginda saw mejawab, “Bukankah engkau yang sebenarnya sangat lapar kerana makan kurma bersama biji-bijinya”. Dengan semangat perwira disulami jenaka, sebuah peradaban dunia Baginda saw bina. Subhan Allah.

Hari ini, harus kita-kita teruskan langkah. Seperti sedih dan sesal Yunus as sebelum keluar dari gelap perut al-Noon, barangkali kita-kita juga perlu turut berdoa ‘Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh, aku termasuk orang-orang yang zalim’. Kita juga mahu keluar dari kegelapan ini. Juga, kita janji Ustaziyatul Alam sebagai hadiah buat Baginda saw. Dan moga Allah menyampaikan pada Baginda saw di syurga salam rindu kita. Rasulullah, tunggu kami ya!

…Wa Shallallahu ‘ala Sayyidina Muhammad al-Nabi al-Ummi wa ‘ala Aalihi wa Sahbihi wa Sallim Tasleeman Katheera, ‘Adada Maa Ahaata Bihi ‘Ilmuhu wa Khatta bihi Qalamuhu wa Ahsaahu Kitaabuh

Ammar Roslizar

Comments (0)

‘Booth’ Misi Kasih Palestin di Malaysian Bazaar Sheffield

Posted on 23 February 2010 by admin

Alhamdulillah, Misi Kasih Palestine telah berjaya membuka ‘booth’ di Malaysian Bazaar anjuran kuSheff yang bertempat di St. Andrew Church Sheffield. Selain mengumpul kutipan sumbangan, team MKP2010 juga telah mengadakan jualan merchandise seperti Palestine badge, Palestine scaft, hoodies, beg, palestine flag, dan sebagainya.

Booth ini telah dibuka jam 8.30 pagi dan berakhir lebih kurang jam 1.00 tengahari. Pihak Church St. Andrew tertarik dengan usaha kutipan dan jualan booth MKP2010 pada hari tersebut. Alhamdullah MKP2010 telah mula membina jaringan baru dengan pihak St. Andrew Sheffield.

Tahniah kepada ikhwah dan akhawat yang terlibat.

Semoga Allah menganjari pahala yang besar diakhirat kelak sebagai amal jariah kita diatas dunia ini.

Sekian, wassalam

Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin , baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. (Surah At Taubah 111)

mkp002

mkp001

Comments (0)

Muhasabah Diri bersama Potongan Ayat Al-Quran

Posted on 22 February 2010 by admin

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,
Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam
Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
[Al-Alaq, 96 : 1-5]

….niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Mujaadilah, 58 : 11]

Hai orang yang berkemul (berselimut),
Bangunlah, lalu berilah peringatan!
[Al-Muddathir, 74 : 1-2]

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”
[ Fusshilat, 41 : 33]

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[Ali Imran, 3 : 110]

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.
[Ali Imran, 3 : 104]
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?
[Al-Baqarah, 2 : 140]

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-kitab, mereka itu dila’nati Allah dan dila’nati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat mela’nati.
[Al-Baqarah, 2 : 159]

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi SAKSI atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi SAKSI atas (perbuatan) kamu.
[Al-Baqarah, 2 : 143]

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. dia Telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. dia (Allah) Telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi SAKSI atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi SAKSI atas segenap manusia, Maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah pelindungmu, Maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik- baik penolong.
[Al-Hajj, 22 : 78]

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia Ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.
Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
[At-Taubah, 9 : 38-39]

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
[At-Taubah, 9 : 41]

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
[Muhammad, 47 : 7]

Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
[As-Shaff, 61 : 13]

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.
[At-Taubah, 9 : 111]

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
[As-Shaff, 61 : 10-11]

Comments (0)

TAHNIAH! ‘The Contrast’ tempat ke-3, di NISE 2010, Leeds

Posted on 22 February 2010 by admin

Dipetik dari www.msmsheffield.wordpress.com

nise-2010

Bersempena dengan Majlis Nisa’ Nasheed Extravaganza (NISE), yang telah berlansung di University of Leeds semalam (20 Feb 2010), saya selaku Manager, ingin mengucapkan tahniah atas kemenangan yg dicapai oleh kumpulan ‘The Contrast’ dari Sheffield yang terdiri daripada Norshazwani Othman, Mia Amira, Yana Saiful, Nor Hamira, Nur Dalila Yahya, Nur Hidayu Ahmad dan Atikah Abd Latiff. Kalian telah berusaha gigih utk petandingan ini dan berkat kerjasama yang diberikan, kemenangan ini adalah rezeki yang Allah kurniakan buat kalian.

Syukur alhamdulilah, kumpulan The Contrast telah memenangi tempat ketiga daripada 13 kumpulan yang tidak kurang hebat semuanya yang turut bertanding semalam. Ini adalah kemenangan yang julung-julung kalinya buat Sheffield dan amatlah membanggakan bagi seluruh warga Sheffield. Semoga kemenangan ini akan memberikan lebih semangat kepada mana-mana wakil kumpulan dari Sheffield untuk terus berjaya dalam apa jua pertandingan pada masa akan datang.

Tidak dilupakan, ucapan tahniah buat kumpulan ‘Mantoop’, juga dari Sheffield yang telah bersungguh-sungguh memberikan persembahan yang terbaik. Semoga pengalaman ini akan memberikan semangat kepada adik-adik dari Sheffield utk memberikan persembahan yang lebih mantoopp di tahun hadapan. InshaAllah.

Juga diucapkan tahniah kepada semua penyokong-penyokong dari Sheffield yang sudi datang memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat kita. Terima kasih kepada jurugambar-jurugambar (yang berusaha gigih sangat-sangat demi nak dapatkan ’shot’ yg terbaik). Sesungguhnya, ukhuwwah yang terjalin kerana Allah adalah lebih manis dan semoga kita semua sentiasa dibawah lindungan dan rahmatNya selalu. Ameen.

Tahniah sekali lagi buat adik-adik semua.

Laporan oleh,
Manager ”The Contrast’
Raudhah

Comments (0)

Segala Perbuatan Bermula dengan Niat

Posted on 18 February 2010 by admin

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ ‏ ‏بِالنِّيَّاتِ

Ikhlas adalah tajuk yang dipilih oleh Imam an-Nawawi untuk dijadikan tajuk pertama di dalam kitabnya Riadh as-Solihin dan Hadis Arba’ein an-Nawawiyyah. Tajuk yang diilhamkan dari sepotong Hadis yang disampaikan oleh sahabat besar yang sangat hebat, iaitu sayyidina Umar bin al-Khattab (رضي الله عنه )

Kepentingan Hadis ini serta isi kandungannya digambarkan oleh Abd ar-Rahman bin Mahdi (135-198H), seorang muhaddith yang thiqah dengan kata-katanya: sekiranya aku menulis kitab yang mengandungi beberapa bab, nescaya akan aku letakkan Hadis Umar ini pada setiap bab.

Seorang ulamak besar kurun ke 7 hijriah, Ibn Abi Jamrah berkata: aku bercita-cita kalaulah ada di kalangan fuqahak seorang yang tidak ada lain kerjanya kecuali mengajar manusia tentang tujuan setiap amalan yang mereka lakukan. Dia duduk mengajar peranan dan kepentingan niat, itu sahaja. Sesungguhnya kebanyakan manusia tidak ditimpa musibah selain daripada mensia-sia niat.

Kata-kata itu memang ada asasnya. Allah (عز و جل) tidak memerintahkan hamba-Nya kecuali mengikhlaskan niat di dalam beribadah kepada-Nya seperti firman-Nya:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
(Al-Bayyinah:5)

Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم ) bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menerima daripada amalan itu kecuali yang ikhlas dan mencari keredhaan-Nya”. (Menurut al-Albani, Hadis Hasan)

Apa maksud ikhlas?

Imam Ibn al-Qayyim (رحمه الله ) di dalam kitab Madarij as-Salikin, mengemukakan beberapa pandangan ulamak mengenai ikhlas.

Pertama: Ikhlas ialah mengesakan al-Haq (Allah) pada niat di dalam taat. Maksudnya, ketaatan yang dilakukan dengan niat semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.

Kedua: Menyingkirkan perbuatan daripada pemerhatian makhluk. Maksudnya, elakkan perbuatan kita daripada tujuan mendapat perhatian manusia.

Ketiga: Amalan yang dilakukan oleh seseroang hamba itu sama pada zahir dan batin.

Keempat: Muslim meletakkan qasad (tujuan) segala perkataan dan perbuatannya hanyalah Wajah Allah Ta’ala. Dia mengharap pahala dan takut siksa, menghindarkan ria’ dan kemasyhuran di kalangan manusia.

Kelima: Lupa memandang makhluk kerana sentiasa melihat kepada al-Khaliq.

Semua makna yang dikemukakan, walaupun susunan ayatnya tampak berbeza, ia hanya menunjukkan satu pengertian bahawa ikhlas adalah satu tuntutan dan syarat diterima segala amalan.

Di dalam beberapa riwayat, Nabi (صلى الله عليه وسلم) memberi peingatan yang cukup jelas, amalan yang tidak ikhlas bukan sahaja tidak diterima, sebaliknya ia menjadi penyebab binasanya seseorang hamba. Abu Daud dan Ibn Majah meriwayatkan bahawa baginda telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang seharusnya digunakan untuk mencari redha Allah, dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu wanginya syurga pada hari qiamat kelak”.

Bagaimana mengikhlaskan niat?

Terdapat beberapa cara dan langkah yang boleh membantu dalam usaha membersihkan hati daripada anasir-anasir yang mencemarkan niat.

1. Mujahadah an-nafs, iaitu usaha gigih yang berterusan melawan nafsu yang terselit di dalam diri sendiri. Seorang ahli sufi yang terkenal waraknya, Sahal at-Tasatturiy (200-283H) pernah ditanya tentang sesuatu yang paling sukar diterima oleh nafsu. Beliau menjawab, ikhlas!

2. Sentiasa bertaqwa kepada Allah.

3. Memahami dan menghayati Kesempurnaan, Kekuasaan, Keagungan, Kekayaan, Pengawasan dan Keluasan kurniaan Allah di samping menginsafi kelemahan, kefaqiran, kehinaan dan ketidak upayaan hamba. Apakah patut kita berharap kepada hamba yang lemah dan membelakangkan Dia yang Maha Kuasa dan Maha Kaya?

4. Banyakkan doa, meminta dan merayu kepada-Nya agar dikurniakan hati yang ikhlas
(يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك)
(يا حي يا قيوم أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين أبدا)
(اللهم إني أعوذ بك أن أشرك بك شيئا أعلمه وأستغفرك مما لا أعلمه)

5. Rahsiakan ibadah dan kebaikan yang dilakukan seboleh mungkin.

6. Mengkritik diri dan menghisabnya dari masa ke masa berkaitan dengan niat.

7. Memerhati akan pantasnya kehidupan dunia dan cepatnya menuju kehancuran, seraya berfikir tentang akhirat, kenikmatan serta kesengsaraan yang tidak berkesudahan.

8. Waspada sentiasa terhadap godaan perasaan kagum kepada diri sendiri, seronok dipuji, suka memimpin dan menonjolkan diri. Perhati dan rawati selalu agar tidak bertapak menjadi penyakit yang sukar diubati.

الله أعلم

Dipetik dari http://zaadut-taqwa.blogspot.com

Comments (1)

BICARA Rabiul Awal 1431H - Dapatkan Segera

Posted on 18 February 2010 by admin

bcrra

Alhamdulillah, buletin bulanan MSM iaitu BICARA telahpun berada di pasaran. Untuk edisi bulan Rabiul Awal 1431H, anda boleh muat turun di link berikut:

http://msmonline.net/v1/wp-content/uploads/bicara-rabiul-awal-1431h.pdf

Anda boleh terus print, fotokopi dan sebarkan kepada rakan-rakan anda yang lain.

Anda juga boleh mendapatkannya melalui wakil-wakil MSM di kawasan anda.

Untuk versi ‘on-line’, sila ke pautan berikut:

http://issuu.com/msmbicara/docs/rabiul_awal

Semoga bermanfaat dan ‘Selamat Membaca’

Comments (0)

Video MSM

 

February 2010
M T W T F S S
« Jan   Mar »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728