Archive | Tarbiyyah

Tazkirah Ramadhan Sempena Nuzul Al-Quran

Posted on 28 August 2010 by admin

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan. Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam pada bulan Ramadan, ketika Nabi (saw) sedang bermunajat di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda membaca.

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (surah al-Alaq:1-4)

Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung,Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdilan kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (mengambil berat) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani. Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.

Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw). Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).”

Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi. Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.

Comments (0)

Tazkirah 12 Ramadhan 1431H

Posted on 22 August 2010 by admin

Tazkirah 12 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kembali kita kepada isu perpaduan umat seperti kita telah bincangkan dua malam lepas.

Ramadan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan, seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat-merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq, Pakistan dan banyak lagi tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai. Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari. Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan.. Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Untuk sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai pertubuhan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Aqsa Syarif, Majlis Syura Muslimun dan MERCY Malaysia ada menganjurkan Tabung Khas bagi meringankan penderitaan mereka. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadan untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita.

Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

“Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga.” (Hadis Riwayat Muslim dan Termizi)

Tazkirah 11 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita kini masuk ke malam ke 11 Ramadan. Ini bermakna, kita telah berada di fasa kedua Ramadan. Kita telah meninggalkan fasa “rahmat” manakala kita kini memasuki fasa “maghfirah”. Sepuluh hari yang berlalu, kita berharap rahmah, belas kasihan dari Allah. Di hari mendatang, pintu maghfirah Allah terbuka luas menunggu kepulangan hamba-hamba-Nya.

Kita perlu menilai semula, review pencapaian kita. Untuk itu, kita boleh mengambil iktibar dari sebuah kisah yang dinukilkan oleh Sheikh Said Hawa mengenai Al-Hasan bin Abul Hasan al-Bishri. Bahawa beliau ini pada suatu ketika pada bulan Ramadan berjalan melalui satu kelompok manusia yang sedang tertawa sambil bersenda gurau, kemudian al-Hasan berkata:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla menjadikan Ramadan sebagai bahan ujian yang tersembunyi bagi seluruh makhluk-Nya. Semua orang sama berlumbalumba, atau dahulu-mendahului untuk berbuat ketaatan kepada Allah (SWT). Kemudian ada golongan yang dapat mendahului golongan lain, merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya. Sedang golongan lain ada yang tertinggal di belakang dan mereka itulah orang-orang yang menyesal dan merasa mendapat kerugian yang besar. Oleh sebab itu adalah heran seheran-herannya ketika saya melihat ada orang yang tertawa, bermain-main pada hari seperti sekarang ini dalam bulan Ramadan, padahal di saat ini adalah hari sebahagian manusia menjadi beruntung dan berjaya , sedangkan ada sebahagian manusia lainnya yang merasa rugi dan menyesal. Yang berbahagia ialah orang-orang yang mendahului kawan-kawannya untuk mentaati Dzat Yang Maha Pencipta, dan yang merugi ialah orang yang hanya gemar melakukan kebatilan dan kesia-siaan.”

Setelah melalui sepertiga Ramadahan, eloklah kita berhenti sejenak, menilai prestasi kita dalam sepuluh hari yang telah berlalu. Antara soalan yang boleh kita tanyakan diri kita ialah:

• Sudahkah kita memanfaatkan sebaik-baiknya kehadiran bulan Ramadan yang penuh berkat ini?

• Sudahkah kita cuba sedaya upaya mencantikkan puasa kita?

• Sudahkan kita memastikan anak-isteri-suami dan seluruh keluarga kita sama-sama menikmati keberkatan Ramadan ini?

• Sudahkah kita mencapai tahap minimum pembacaan al-Quran setiap hari? Jika standard kita ialah satu juzuk sehari, maka kini sepatutnya kita telah melebihi sepuluh juzuk.

• Sudahkan kita memastikan sunat-sunat puasa seperti bersahur disempurnakan?

• Sudahkah kita memastikan kita tetap istiqamah dengan solat tarawih dan berazam untuk meneruskannya ke hujung Ramadan?

• Sejauh manakah Ramadan kita tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lepas?

Kuatkan tekad untuk melipatganda amal dan beristighfar atas ketelanjuran kita.

Tazkirah 10 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang tidak mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.
Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.
Anas bin Malik berkata:

“Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa. (Hadis Riwayat Bukhari and Muslim)

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara-perkara khilafiyah sebegini. Ingatlah pesanan Allah:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum men golok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang men golok-olokkan) (Surah al-Hujurat: 11)
Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain. Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.
Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa

Tazkirah 9 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu roh yang penting dalam puasa ialah mewujudkan rasa kebersamaan dengan orang yang kurang bernasib baik. Puasa membolehkan kita yang berkemampuan (secara sukarela) merasa apa yang dirasai (secara terpaksa) oleh golongan yang tidak berkemampuan menikmati makanan dan minuman yang mencukupi setiap hari. Bayangkan, kita menahan diri secara sukarela sedangkan peti-sejuk kita dipenuhi makanan, kabinet dapur kita sendat dengan pelbagai bahan, tetapi mereka yang kurang bernasib baik terpaksa berlapar kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli walaupun makanan yang asas seperti beras dan minyak. Kita masih boleh bergembira kerana kita tahu, lapar kita hanya seketika, sementara menunggu berbuka tetapi bagi mereka entah malam ini, entah esok belum pasti ada cukup makanan untuk seisi keluarga.

Memberi makan kepada orang yang lapar adalah tugas mulia.

Dari Abdullah bin Amr ra ia berkata, ketika salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah (saw). “Ya Rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik”. Rasulullah saw menjawab: “Memberi makan (orang yang lapar) dan memberi salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal”. (Hadis Riwayat Bukhari).
Jangan kita anggap bahawa golongan yang sebegini hanya wujud di Palestin, Kashmir atau di Somalia. Golongan yang kurang bernasib baik sedemikian mungkin wujud di kawasan atau daerah kita. Sebaik-baiknya kita cuba dapatkan maklumat keluarga atau orang perseorangan yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian di kejiranan atau dalam kariah masjid/surau kita dan sampaikan kepada Jawatankuasa surau/masjid ataupun Islamic Society untuk diambil tindakan sewajarnya.

Dua hadis berikut ini ini boleh menjadi motivasi kita:

“Tidak beriman kepadaku siapa yang tidur kenyang padahal jirannya lapar di sampingnya sedangkan dia tahu jirannya lapar”. (Hadis Riwayat Tabarani)

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

“Apabila anda memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiranmu dan berikanlah kepada mereka sebahagian darinya dengan baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun orang yang memerlukan mungkin bukan jiran sebelah rumah kita tetapi mereka mungkin jiran sekariah, sedaerah, senegeri, senegara dengan kita.

Marilah sama-sama kita merealisasikan salah satu ruh puasa ini dengan menyumbang sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Pelbagai cara boleh dilakukan; banyak peluang kini dibuka. Pokoknya tepuk dada.. tanyalah iman kita.

Tazkirah 8 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda:

Tidaklah berpuasa itu dari makan-minum semata, tetapi berpuasa itu adalah dari perbuatan kosong dan perkataan keji. Maka jika kau dicaci orang atau diperbodohnya, hendaklah kamu mengatakan: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!” (Hadis Riwayat Ibnu khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jelas kepada kita bahawa puasa yang berkualiti bukan sekadar menahan diri dari makan-minum. Tetapi kita perlu juga menahan diri dari perbuatan kosong (lagha). Cuba bayangkan berapa banyak perbuatan lagha yang kita buat hari ini; dari berbual kosong sehingga kepada bermain computer games, melayari facebook, membaca blog atau menonton television. Sebaliknya kita perlu menyibukkan harian kita dengan kerja-kerja yang produktif; untuk dunia dan akhirat kita. Jika mempunyai luang dari waktu bekerja mencari nafkah kita, sibukkan diri dengan membaca al-Quran, terjemahannya atau berzikir atau i’tikaf atau menghadiri majlis ilmu atau membaca buku-buku agama dan seumpamanya.

Satu lagi adab penting orang berpuasa ialah mengawal lidah dan perasaan. Orang yang berpuasa adalah seorang yang tenang, sabar dan berhati-hati dalam percakapannya. Puasa itulah membolehkan beliau untuk mengawal diri dari memberi tindak balas negatif apabila diuja dengan perkara-perkara negatif oleh orang lain. Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

Dan puasa itu merupakan perisai (junnah), maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!”. (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Annisa’i)

Begitu kuat tuntutan kita menjaga lidah ini ditekankan lagi dalam sebuah hadis lain pula di mana Nabi (saw) bersabda:

Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan kedustaan itu, maka Allah tidak merasa perlu ia meninggalkan makan minumnya. (Hadis Riwayat Jama’ah kecuali Muslim)

Marilah kita berusaha dan berdo’a agar Allah swt mempermudahkan kita menjalani ibadah puasa kita dengan paling sempurna. Semoga puasa kita hari ini lebih baik dari semalam, dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

Tazkirah 7 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Nabi (saw) mengingatkan kita bahawa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?

Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima amalannya!

Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.

Tazkirah 6 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang berpuasa nanti akan mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki. Selain itu orang yang berpuasa juga dijanjikan kemapunan bagi dosa yang lalu. Dari Abu Hurairahbahawa Rasulullah (saw) telah bersabda:

“ Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah(ihtisab), akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)

Kalau dilihat bentuk hadis ini, ianya seakan sama dengan hadis mengenai keutamaan solat tarawih (lihat Renungan Ramadan 4). Di dalam hadis ini bukan sahaja disebutkan janji keampunan dosa bagi orang yang berpuasa tetapi juga syarat untuk mendapat anugerah ini iaitu berpuasa dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Puasa kita bukan kerana budaya, bukan kerana adat, bukan kerana manusia, bukan kerana kesihatan, bukan kerana ketiadaan makanan. Tetapi kerana keazaman kita memenuhi tuntutan iman dan benar-benar mengharapkan keredhaan Allah.

Niat dan keazaman yang sedemikian akan menyebabkan kita tekun menjaga syarat-syarat dan adab-adab dalam puasa kita; bagi melayakkan kita mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita yang lalu. Abu Said al-Khudri berkata bahawa Nabi (saw) pernah bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan mengetahui batas-batasnya dan ia menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah dosanya yang sebelumnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Saudara-saudari yang budiman,

Jelas kepada kita bahawa hanya puasa yang terjaga dari batas-batasnya sahaja yang akan diterima dan layak untuk menerima keistimewaan yang dijanjikan. Sebab itu Nabi (saw) memberi kita peringatan, sekiranya kita tidak berhati-hati, kita mungkin terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memperolehi apa-apa dari puasa dan solat tarawih mereka. Abu Hurairah berkata Nabi (saw) bersabda:

“Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak orang bersembahyang malam, tetapi tiada yang ia perolehi selain dari rasa mengantuk” (Hadis Riwayat an-Nisai dan Ibn Majah)

Yang dimaksudkan oleh Nabi (saw) ialah orang yang berpuasa hanya dengan berlapar tetapi tidak kerana mencari keredhaan Allah serta tidak kisah dalam menjaga adab-adab dan batas-batasnya yang lain. Semoga Allah menjauhi kita dari termasuk ke dalam golongan ini; golongan orang yang berlapar dahaga tetapi tidak memperolehi apa-apa; puasa tidak diterima; dosa tetap tidak berampun.

Semoga Allah swt menerima puasa kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan membantu kita ke arah meningkatkan mutu puasa kita.

Tazkirah 5 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat untuk mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah. Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan diseru pada hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita. Menurut Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat pada waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau larang ia tidur pada waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”. Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti seperti hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:

“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangka hati: di kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui Tuhannya nanti, ia akan gembira kerena puasanya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)

Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang dalam mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan. Memang puasa memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah dengan janji Allah melalui lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat bagi kita. Kita mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki.

Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan memperoleh syafaat dari puasa yang kita kerjakan.

Tazkirah 4 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadan ialah solat sunat tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:

“Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan, tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam bulan Ramadan kerana iman dan me gharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.”

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita untuk solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari dosa-dosa yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,

Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa kita.

Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun bersolat dengan “imaanan wa ihtisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana“ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah. Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita.

Satu perkara yang sering menjadi bahan perselisihan mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Perbincangan ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujahnya masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah kita menyalahkan atau merendahkan orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat. Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia dan akan membalas sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah kerana tidak bersetuju dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat tarawih. Kedua, bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira sama ada ianya 20 atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita sentiasa. Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wa ihtisaaban” bukan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.

Tazkirah 3 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw)

“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para saha bat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-orang yang paling bersegera berbukanya dan paling lambat bersahurnya” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya. Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima ucapan selawat daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangunnya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:
“ Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu hari telah mulai terang.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yangmustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat pula bersolat sunat yangbegitu besar ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.

Tazkirah 2 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Allah swt berfirman, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini merupakan ayat yang menitahkan fardhu puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari ibadah puasa kita “agar kamu bertaqwa”. Darjah taqwa adalah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan syurga oleh Allah:

“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya” (Surah al-Qalam:34)

“ Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah ali-Imran: 133)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah yang Allah turunkan di dalam al-Quran:
“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan di dalamnya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.“ (Surah al-Baqarah: 1-2)

Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan Allah di dunia lagi. Firman Allah bermaksud:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangkasangka.” (Surah at-Talaq: 2-3)

Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling mulia di sisi Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa dari kalangan kamu” (Surah al-Hujurat: 13)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang melayakkan seseorang menjadi orang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi. Pasti untuk memperolehinya agak sukar. Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran istimewa dari Allah SWT.

Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa, pasti kita kan mencapai darjat taqwa. Marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar puasa kita Ramadan ini mampu melonjakkan kita ke darjat taqwa. Amin.

Tazkirah 1 Ramadhan 1431H

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadan. Inilah yang sering kita doakan:

“ Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan pada bulan Ramadan. Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadan bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Pada bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikanny a sesungguhnya dia rugi.” (Hadis Riwayat Ahmad dan An-Nasai)

Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap menjelangnya Ramadan.
Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat pada bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.

Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadan bukan sahaja bulan kita berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya.

Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin melampaui kadar umur kita? Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis tersebut:

“Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikanny a sesungguhnya dia rugi”.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Maka pada malam ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan pada bulan Ramadan. Pada malam ini, kita tingkatkan komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita pasang janji kita untuk berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.

Comments (0)

Newsletter Sempena Ramadhan

Posted on 18 August 2010 by admin

Alhamdulillah, MSM Sheffield dan MSM NESS telah menerbitkan newsletter Ramadhan 1431H.

Sila dapatkan di pautan di bawah dan sebarkan kepada rakan-rakan kita.

Newsletter Nur Ramadhan 1431H (MSM Sheffield) - issue 1

Newsletter Nur Ramadhan 1431H (MSM Sheffield) - issue 2

Leaflet Ramadhan 1431H MSM NESS - 1

Leaflet Ramadhan 1431H MSM NESS - 2

Semoga bermanfaat.

Selamat menjalani ibadah puasa dan berbuka.

Comments (0)

Perutusan Ramadhan

Posted on 12 August 2010 by admin

Perutusan Ramadhan Presiden IKRAM

بسم الله الرحمن الرحيم …… السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agamaNya , melengkapkan nikmatNya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Din. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w , keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah ………..Amin!

Semoga seluruh warga Pertubuhan IKRAM Malaysia, anggota keluarga mereka , seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t , memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan Ummah yang kita sayangi

Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi keberkatan, semulia-mulia bulan. Di dalamnya diperturunkan al-Quran, dimenangkan Ummah menerusi peperangan Badr al-kubra, al-Yarmuk, al-Qadisiah, al-Hattin dan lain-lain lagi. Ia mengandungi sebaik-baik malam , yaitu malam lailatul qadar, yang lebih baik dari seribu bulan.

Ia bulan yang membuka ruang kepada semua Umat Islam untuk mempergandakan amal-amal soleh, ketaatan kepada Allah, yang akan mempergandakan pahala balasan amalan-amalan yang wajib sebanyak tujuh puluh kali ganda dan amal-amal sunat kepada pahala balasan amal-amal yang fardhu dan wajib. Satu gandaan yang amat luar biasa yang dibawa atau yang terkandung bersama-sama bulan Ramadhan yang penuh keberkatan

Sepanjang bulan Ramadhan masyarakat Islam dituntut melaksanakan ibadah puasa , membayar zakat fitrah, mereka keluar beramai-ramai melaksanakan sembahayang fardhu dan sunat tarawikh secara berjamaah di masjid-masjid dan surau-surau, memakmurkan rumah-rumah Allah s.w.t dan bulan Ramadhan dengan kegiatan-kegiatan membaca al-Quraan, i’tikaf sepanjang sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, menghidupkan malam-malamnya dengan sembahyang-sembahyang sunat tahajud, witir dan seumpamanya, mengingati Allah s.w.t dengan memperbanyakkan tasbih ,tahmid, istighfar, taubah, berdoa dengan doa-doa yang ma’athur , munajat, merenung kandungan kitabnya dan keajaiban alam semesta, mendalami sirah RasulNya dan memahami perutusan-perutusan dari sunnah-sunnah baginda, sejarah umat manusia, para-para Nabi dan Rasul dan pengikut-pengikut mereka, nasib kaum-kaum yang ingkar kepada perintah Allah, alam akhirat, kematian dan untung nasib manusia sesudahnya.

Menerusi ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan kita dituntut mengekang hawa nafsu minum dan makan serta mencampuri Isteri di waktu siang, mengasuh diri bersabar, menahan marah, menjaga lidah dan kehormatan peribadi sebagai orang Islam yang mulia, bersopan santun, sentiasa menghulurkan khidmat dan bantuan kepada golongan yang memerlukannya, berderma dan bersedekah, merasai sendiri kesedihan dan kepayahan, kelaparan dan kekurangan yang ditanggung selama ini oleh golongan fakir miskin, anak-anak yatim, golongan cacat dan tidak berupaya untuk menyara atau mengurus diri sendiri atau keluarga mereka.

Bulan Ramadhan merupakan bulan pembersihan jiwa daripada pelbagai penyakit-penyakit batin dan pembersihan diri daripada perilaku-perilaku yang buruk. Bulan yang sepatutnya kepada pejuang-pejuang Islam menyuburkan keinsafan dalam diri, kesabaran menghadapi cabaran-cabaran, keazaman mendokong Islam, ketaatan kepada Allah, kerinduan kepada al-Rasul s.a.w dan sahabat-sahabat baginda yang telah berkorban untuk Islam dengan setinggi-tinggi pengorbanan.

Dalam suasana bulan Ramadhan, mereka meredah sahara, gurun yang luas, jurang yang dalam, bukit bukau yang tinggi, di bawah panahan cahaya panas terik matahari mereka memikul panji-panji tauhid untuk dikibarkan di seluruh pelusuk semenanjung Arabia, menyempurnakan satu misi alami, insani yang amat mulia yang kemudiannya disempurnakan oleh para sahabat baginda.

Gunakanlah kesempatan yang masih lagi Allah berikan kepada kita semua menerusi bulan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari lagi ini untuk memperbanyakkan amal-amal soleh, mentaati Allah s.w.t, menabur bakti kepada orang-orang yang memerlukan , terutama kepada lingkungan yang hampir dengan kita, anggota keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, kenalan dan rakan-rakan.

Jadikanlah bulan Ramadhan ini, bulan kita memperteguhkan hubungan dengan Allah s.w.t, hubungan silatul al-rahmi dengan anggota keluarga yang dekat dan jauh, sanak saudara, jiran tetangga, rakan-rakan dan saudara –saudara seperjuangan, sesama ahli-ahli pertubuhan IKRAM dan masyarakat Islam.

Bulan Ramadhan, sewaktu dimanfaatkan sepenuhnya mampu mengasuh diri dan peribadi kita semua, mengangkatnya ke satu tahap yang lebih tinggi dan sempurna, menjadikan semua kita golongan yang hampir, dekat kepada Allah s.w.t dan manusia, diri dan peribadi yang mengasihi Allah dan dikasihinya, disayangi manusia dan menyayanginya.

Semoga bulan Ramadhan pada tahun hijrah 1431 ini akan mengangkat kita semua ke darjat golongan-golongan ummah yang bertakwa, memiliki bekalan perjalanan kehidupan yang terbaik dalam pengembaraan masing-masing merentasi kehidupan sementara di dunia yang fana’ ini. Dengan itu kita akan mencapai matlamat daripada ibadah berpuasa, memperolehi bekalan taqwa yang merupakan sebaik-baik bekalan disisi Allah s.w.t

Allah s.w.t telah berfirman didalam al-Quran:

“ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون ”

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu ( ibadah ) puasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu mejadi orang-orang yang bertaqwa “ { surah al-Baqarah, ayat 183)

Firmannya lagi:

وتزودوا فان خير الزاد التقوى ” “

Maksudnya: “ Sediakanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat al-taqwa “ { Surah al-baqarah, ayat 197 )

Ahli-ahli pertubuhan IKRAM diharapkan akan memperolehi bekalan al-taqwa tersebut menerusi penghayatan bulan ramadhan sebaik-baiknya, memperbanyakkan amal-amal soleh. Mudah-mudahan ia akan mengangkat mereka maju dan mara melonjakkan wahana IKRAM dan perjuangan Islam menerusinya ke tahap yang lebih tinggi, meninggalkan kesan baik dan membina yang lebih besar dan luas kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan

Akhirnya sebagai penutup, bersesuaian dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghayati perutusan Nabi kita Muhammad s.a .w menerusi hadis baginda :

Rasulullah telah berucap di hari-hari terakhir bulan Syaaban kepada sahabat-sahabat baginda:

” أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء . قالوا : يا رسول الله , ليس كلنا يجد ما يفطر الصائم , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يعطى الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة ماء أو مذقة لبن . وهو شهر أوله رحمة , وأوسطه مغفرة, وآخره عتق من النار, من خفف فيه عن مملوكه غفر الله له وأعتقه من النار, فاستكثروا فيه من أربع خصال: خصلتين ترضون بهما ربكم, وخصلتين لا غناء بكم عنهما, فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم : فشهادة أن لا اله الا الله , وتستغفرونه, وأما الخصلتان اللتان لا غناء بكم عنهما : فتسألون الله الجنة وتعوذون به من النار, ومن سقا صائما سقاه الله من حوضى شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة ”

Maksudnya: “ Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah.

Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan.

Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan”

Sahabat-sahabat baginda langsung berkata: “Bukan semua kami memiliki sesuatu untuk dijadikan bahan berbuka seorang yang berpuasa”. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: “Allah akan mengurniakan ganjaran pahala saperti itu kepada seseorang yang menghidangkan untuk seseorang yang berpuasa berbuka walaupun sekadar seulas buah tamar, seteguk air atau seteguk air susu ….

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah pengampunan dan hujungnya adalah pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hambanya, Allah lagi akan mengampuni dirinya serta membebaskannya daripada api neraka.

Perbanyakkanlah sepanjang (bulan Ramhadan) 4 kegiatan: 2 kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah s.w.t, 2 kegiatan lain pula kamu sendiri amat perlu kepadanya: Adapun 2 kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah, maka ia adalah ucapan syahadah: “ bahawa tiada tuhan melainkan Allah” dan kamu memohon keampunan daripadanya.

Adapun 2 kegiatan yang kamu sendiri amat perlu kepadanya, maka ia adalah: “ kamu memohon ( balasan ) syurga serta kamu meminta perlindungannya daripada api neraka. Sesiapa yang memberi minuman kepada seseorang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minuman daripada kolah airku yang menjadikannya sama sekali tidak akan kehausan sehinggalah dia memasukki syurga” (Riwayat ibnu khuzaimah dalam kitab sahihnya)

Sekian sahaja dahulu, semoga Allah menerima semua amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini dan seluruh amalan kita sepanjang kehidupan kita semua.

Selamat berpuasa.

Wassalamualaikum
Ust Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad

Presiden IKRAM
28 Shaaban 1431H
9 Ogos 2010

Comments (0)

Nasyid Ramadhan - Moga Bermanfaat

Posted on 09 August 2010 by admin

Comments (0)

Ramadhan yang dinanti oleh Penghuni Langit & Bumi

Posted on 09 August 2010 by admin

Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan makhluk-Nya satu bulan yang dilimpahi segala kebaikan dan keistimewaan yang tak terperikan. Seluruh makhluk di langit dan di bumi teruja ternanti-nanti tibanya bulan mulia penuh barakah itu. Bulan yang satu-satunya disebut namanya di dalam kitab suci al-Quran dan dikaitkan pula dengan perisitiwa turunnya kitab itu sendiri!

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….” Al-Baqarah 2:185.

Mereka yang mengetahui dan menghargai anugerah yang agung ini pastinya ternanti-nanti penuh rindu dan mengharap agar dipertemukan dengan Ramadhan dan berazam untuk meraih sebanyak-banyaknya kebaikan dan kelebihan yang dijanjikan.

Renungkan betapa alam buana ini dipersiapkan untuk menanti ketibaan Ramadhan!

1. Pintu-pintu langit dibuka sepanjang bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang bermaksud: “Apabila tiba malam pertama Ramadhan, dibuka semua pintu langit, tidak akan ditutup satupun daripadanya sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan” Riwayat al-Munziri daripada Abi Sa’eid al-Khudri di dalam ‘at-Targhib wa at-Tarhib’.

2. Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dipasung syaitan-syaitan. (Maksud Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.)

3. Setiap malam penghuni langit menyeru penghuni bumi sehingga tersembul fajar: “Wahai pencari kebaikan, mara dan bergembiralah! Wahai pencari kejahatan, undur dan berhentilah! Siapakah yang ingin memohon ampun, lalu dia diampun? Siapakah yang ingin bertaubat, lalu dosanya dihapuskan? Siapakah yang ingin meminta, lalu permintaannya ditunaikan?” (Maksud Hadis riwayat al-Munziri daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.
Itu merupakan sebahagian persediaan ahli langit untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Maka apakah persediaan ahli bumi?

1. Perlu memahami dan meyakini peluang yang sangat besar serta tawaran yang cukup hebat ini. Rasai dan syukuri betapa bertuahnya diberi peluang menyambut Ramadhan sekali lagi, peluang yang mungkin terakhir. Maka tanamkan azam seutuhnya di dalam diri untuk mengisi Ramadhan dengan segala kebaikan yang termampu.

2. Ingat selalu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan dia mengetahui batasan-batasannya dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, akan dihapuskan daripadanya dosanya yang lalu” Riwayat Ibn Hibban dan al-Baihaqiy daripada Abi Sa’eid al-Khudriy r.a. Dosa terhapus bermakna selamat dari siksa api neraka!

3. Siapkan senarai amalan yang hendak dibuat dengan kefahaman setiap kebaikan diberi pahala berlipat kali ganda. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu kebaikan (yang sunat), baginya pahala seperti melakukan yang wajib pada bulan selainnya. Sesiapa yang menunaikan satu amalan yang wajib, baginya pahala seperti menunaikan 70 amalan yang wajib pada bulan selainnya. Ramadhan adalah bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”. Riwayat al-Munziri

4. Ingat memperingati dan berlumba-lumba mengejar kebaikan selari dengan gesaan Rasulullah s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan barakah yang dicurahkan Allah ke atas kamu. Dia menurunkan rahmah, menghapuskan dosa dan memaqbulkan doa. Allah melihat kepada kamu yang berlumba-lumba (melakukan kebaikan) di bulan Ramadhan dan Dia berbangga di hapadan malaikat-Nya. Maka perlihatkanlah kepada Allah dirimu yang baik. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dihalang daripada mendapat rahmah-Nya di bulan Ramadhan”. Riwayat al-Munziri daripada Ubadah bin as-Samit.

5. Mohon doa sebanyak-banyak di waktu yang dijanjikan mustajab pada setiap hari bulan Ramadhan, iaitu ketika berbuka. “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, orang yang berpuasa ketika ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang dizalimi” Maksud Hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah r.a.
6. Jagalah anggota, khususnya mata, telinga dan lidah dari melakukan perkara yang haram. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai. Maka janganlah kamu mencarut dan jangan berkelakuan bodoh. Jika seseorang memerangimu atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya ‘sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada wanginya kasturi. Allah berfirman: dia telah meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwahnya kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan member ganjarannya. Dan setiap satu kebaikan itu sepuluh kali ganda seumpama dengannya” (Maksud Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

Marilah sama-sama kita berdoa agar diri kita termasuk dalam golongan mereka yang menghargai anugerah yang hebat ini serta berjaya memperoleh syurga yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berpuasa. Amen!

dipetik dari http://zaadut-taqwa.blogspot.com

Comments (0)

Letusan Eyjafjallajokull Gegar Ekonomi Dunia

Posted on 20 April 2010 by admin

a

Kesan abu gunung berapi Iceland lebih buruk daripada yang dijangkakan. Abu yang muncul akibat letusan gunung tersebut telah melumpuhkan sistem pengangkutan udara Eropah.

International Air Transport Association (IATA) meramalkan syarikat-syarikat penerbangan menanggung kerugian pendapatan US$200 juta sehari. Ini tidak termasuk kos-kos lain melibatkan pejadualan semula dan penggunaan lencongan. Mungkin sebahagian syarikat akan terpaksa gulung tikar jika keadaan ini berterusan.

Kesan sebenar kepada ekonomi ialah kebekuan ekonomi akibat ketiadaan pengangkutan udara, bukan sekadar di Eropah malah di seluruh dunia. Tanpa pengangkutan udara, manusia tidak dapat bergerak untuk melaksanakan tugas masing-masing, mesyuarat tidak berjalan, pertemuan terpaksa dibatalkan, persidangan dan perhimpunan besar terpaksa ditangguhkan. Sektor perkhidmatan dan pelancongan akan terjejas, tempahan hotel dan pusat peranginan terpaksa dibatalkan, kontrak tidak dapat dipenuhi.

Pengangkutan barangan tidak dapat dilaksanakan, produk bernilai tinggi tidak bergerak, produk pertanian tidak dapat dihantar dengan segera, penghantaran produk kesihatan, perubatan dan saintifik tertangguh, sistem courier dan pos ekspres menjadi kelam kabut, alat ganti mesin dan kilang tidak dapat diperoleh.

Dalam surah ad-Dukhan, kita telah diberikan amaran bahawa kedatangan asap/kabut dari langit adalah sesuatu yang mengazabkan.

”Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata. Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): “Ya Rabb kami, lenyapkanlah daripada kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman.”

(Ad-Dukhan 44: 10-12)

Kita tidak mengatakan abu gunung berapi Eyjafjallajokull inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini, tetapi yang penting, amaran Allah bahawa asap/kabut dari langit itu adalah salah satu azab bagi manusia dan merupakan salah satu tanda kedatangan kiamat.

Muslim perlu sentiasa sedar bahawa fenomena alam adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

”Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

(Ali Imran 3: 190]

Bagi kita, letusan gunung berapi serta luapan abu terjadi dengan kudrat dan iradat Allah. Jelas kepada kita bahawa kuasa Allah jauh lebih tinggi, lebih hebat mengatasi kekerdilan teknologi ciptaan manusia. Kapal terbang manusia yang dianggap canggih tidak dapat terbang dan berfungsi hanya kerana satu letusan daripada salah satu gunung berapi. Begitulah lemahnya manusia berbanding yang Maha Esa.

msmsmsmsmsm

Dipetik dari http://www.malaysiaharmoni.com

Comments (0)

Maulidun Nabawi dan Baitul Muslim

Posted on 22 March 2010 by admin

Maulidur Rasul saw adalah kelahiran pemimpin rumahtangga muslim pertama dalam risalah terakhir, bahkan ia sebagai model terbaik, uswah hasanah kepada pemimpin dalam sebuah rumahtangga sepanjang zaman dan tempat berkaitan perkara kecil maupun besar.

MSMSMSMSMS
MSMSMSMSM
ikh26

MSMSMSMSMSM

Rumahtangga muslim bagi Rasulullah saw

Pernikahan Rasulullah saw adalah unik lagi unggul. Keunikannya terkandung pada kedua-dua belah pihak; matlamat, hasil dan kesannya. Kedua-dua pihak terlalu unik untuk diperkatakan. Pihak pertama ialah Muhammad bin Abdullah; makhluk terbaik, nabi dan rasul penyudah,pemimpin ummah di hari Akhirat. Pihak kedua ialah Khadijah binti Khuwailid; ummul mu’minin, daripada nasab keturunan mulia, matlamatnya ialah berbentuk ‘risalah’, hasilnya ialah penyebaran risalah terakhir. Dia (Rasulullah saw) adalah contoh terbaik bagi semua kaum muslimin sepanjang zaman.

Antara sifat rumahtangga Rasulullah saw

1. Mawaddah dan Rahmah:

Rasulullah saw adalah insan terbaik dalam pergaulan, kasih sayang dan rahmah ke atas isterinya.”خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kamu ialah orang berkelakuan baik ke atas isterinya dan saya adalah yang paling baik di kalangan kamu terhadap isterinya”.
Kita dapat melihat betapa kasih dan setianya baginda kepada Khadijah -radhiallahu ‘anha- Pernah berlaku Rasulullah saw menyebut namanya selepas wafatnya, lalu sebutan itu dicemburui oleh Aisyah -radhiallahu ‘anha- seraya berkata: “Tidaklah dia (Khadijah) malainkan seorang yang telah berusia dan Allah swt telah menggantikannya dengan yang lebih baik?” Lalu Rasulullah saw menjawab: “Tidak sekali-kali tidak, Allah swt tidak menggantikan dia orang yg lebih baik daripadanya!, dia telah beriman denganku ketika manusia kufur, dia telah membenarkan aku ketika manusia mendustaiku, dia telah mengorbankan hartanya ketika manusia loket terhadapku dan Allah swt memberi rezeki anak-anak daripadanya, tidak daripada yang lain”.

2. Pergaulan yang baik (makruf):

Pergaulan Rasulullah saw dengan isterinya disulami dengan keadilan,makruf dan taqwa..وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan mereka itu (para wanita)mempunyai hak seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang patut”.(Surah Al-Baqaroh ayat 228)
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut”. (Surah An-Nisa’ ayat 19)

Sesungguhnya ia adalah keadilan dalam hak dan kewajipan..
تطعمها إذا طعمت، وتكسوها إذا اكتسيت، ولا تضرب الوجه ولا تقبح، ولا تهجر إلا في البيت
“Kamu memberi makan kepadanya apa yang kamu makan, memberi pakaian kepadanya sama seperti apa yang kamu pakai, jangan kamu memukul mukanya dan jangan menghinanya, jangan kamu berpisah dengannya kecuali dalam rumahnya sahaja”.

Adalah Ibnu Abbas -radhiallahu ‘anhuma- sentiasa berhias untuk isterinya sebagaimana dia mahu isterinya berhias untuknya.Hinggakan sifat ini semestinya dipelihara sekalipun bahtera rumahtangga ini akan berpisah, ianya mesti diakhiri dgn jalan terbaik juga.

فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلاً
Maka kemarilah agar ku berikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik..(Surah al-Ahzab ayat 28)

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ
Maka apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.. (Surah At-Tolaq ayat 2)

3. Kerjasama kedua-dua suami isteri untuk sebarkan dakwah:

Ketika Nabi saw diutus menjadi Rasul, Sayyidah Khadijah adalah orang pertama yg beriman dgn Allah dan RasulNya. Khadijah membenarkan apa yg dibawa oleh Nabi daripada tuhannya, dia telah membantu meringankan urusannya. Apabila baginda menerima penghinaan drp puak musyrikin quraish, Khadijahlah yg mententeramkannya hatta thabatlah dakwahnya, ringanlah penderitaannya dan baginda mampu berhadapan dgn kerenah jahat kaum kafir quraish. Rasulullah saw amat menggalakkan kedua-dua suami isteri bekerjasama untuk ketaatan. Sabdanya:

رحم الله رجلاً قام في الليل فصلى وأيقظ امرأته، فإن أبت نضح في وجهها الماء، ورحم الله امرأة قامت من الليل فصلت، وأيقظت زوجها، فإن أبى نضحت في وجهه الماء

Allah merahmati seorang lelaki(suami) yang bangun malam, lalu bersolat dan mengejutkan isterinya, bila si isteri enggan bangun, maka direnjiskan air ke mukanya. Allah merahmati seorang wanita (isteri)yang bangun malam, lalu bersolat dan mengejutkan si suaminya, bila si suami enggan, maka direnjiskan air ke mukanya pula..

4. Memelihara rahsia rumahtangga

Rasulullah saw menggesa agar kedua suami isteri menjaga rahsia satu sama lain (rahsia tetap rahsia)dan menegaskan ia (buka rahsia) dari amalan syaitan.

فعن أسماء بنت يزيد- رضي الله عنها- (أنها كانت عند رسول الله والرجال والنساء قعود عنده فقال: “لعل رجلاً يقول ما يفعل بأهله، ولعل امرأة تخبر بما فعلت مع زوجها”، فأزمَّ- سكت- القوم، فقلت: أي والله يا رسول الله إنهن ليقلن، وإنهم ليفعلون، قال: “فلا تفعلوا، فإنما مثل ذلك مثل الشيطان لقي شيطانة في الطريق فغشيها، والناس ينظرون” رواه أحمد

Daripada Asma’ bt Yazid -radhiallahu ‘anha- Bahawa ketika dia bersama para lelaki dan wanita berkumpul dalam majlis nabi, lalu baginda bersabda: “Bolehjadi seorang lelaki akan buka rahsia apa yang dilakukan kepada si isterinya, begitu pula sebaliknya”. Semua berdiam diri, lalu saya berkata: “Demi Allah wahai Rasulullah sesungguhnya yg demikian itu benar-benar berlaku”. Lalu nabi bersabda: “Jangan kamu lakukan sedemikian itu! Perumpamaan kelakuan demikian samalah seperti seekor syaitan jantan bertemu dgn yg betina di jalanan, lalu dia berkelakuan tidak senonoh, sedang khalayak ramai menyaksikan perbuatan tersebut”. (Riwayat Ahmad)

Rasulullah saw sebagai seorang ayah

Rasulullah saw amat bergembira dengan kelahiran anak-anak perempuannya.Bila anakandanya Fatimah RA dilahirkan, baginda memberkati dan menyambutnya, lalu menamakannya Fatimah, baginda menggelarnya dengan Az-Zahra’ dan digelar juga dgn Ummu Abiha. Ummul Mukminin Khadijah bt Khuwailid RA apabila melahirkan seorang anak, dia akan mencari ibu susuan di perkampungan yg jauh bertujuan membesarkan mereka supaya memiliki lidah yg fasih dan bersikap berani seperti adat kebiasaan kaum quraish.

Petunjuk Rasulullah saw untuk membina rumahtangga muslim

Bapa bertanggungjawab mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yg sesuai (kufu)..
Kufu di sini maksudnya beragama dan berakhlak..Sabda Nabi saw:

إذا أتاكم من ترضون خلقه، ودينه فزوجوه، إن لا تفعلوا تكن فتنة في الأرض وفساد عريض
Apabila datang kepada kamu seorang yg kamu redhoi dari sudut akhlak dan agamanya, maka kahwinkanlah dia, jika tidak maka akan berlaku fitnah dan kerosakan di bumi.
(Riwayat Tirmizi)

Rasulullah saw telah mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan para lelaki terpilih: Zainab RA dengan Abi al-As bin Rabi’ (anak saudara sebelah ibunya iaitu Halah bt Khuwailid. Abu al-As adalah daripada kalangan lelaki yg terkenal; berharta,amanah dan usahawan berjaya di Mekah. Nabi saw mengahwinkannya dgn anaknya Zainab RA atas cadangan Khadijah bt Khuwailid RA kerana percayakan kebijaksanaan Khadijah, lagipun Abi al-As dianggap seperti anaknya sendiri.

Nabi saw mengahwinkan anaknya Ruqayyah dgn Othman bin Affan RA iaitu khalifah yg bersifat zuhud, kaya,pemurah dan pemalu. Akhlak paling menonjol padanya ialah ‘pemalu’. Nabi saw terhadap sifat tersebut dlm sabdanya:
إن عثمان رجلٌ حييّ
Sesungguhnya Othman adalah seorang lelaki ‘pemalu’.
ألا أستحي من رجل تستحي منه الملائكة
Ketahuilah bahawa aku amat malu terhadap lelaki yg terasa malu bila berhadapan dgnnya oleh para malaikat. (Riwayat Muslim)

Nabi saw amat kasih kepadanya. Apabila Roqayyah wafat -RA-, nabi mengahwinkan Othman RA dgn Ummi Kalthum RA dan apabila Ummi Kalthum wafat nabi saw bersabda:
“Kalau ada lagi anak perempuanku, nescaya aku akan kahwinkan Othman dgnnya.”

Nabi saw mengahwinkan Fatimah RA dgn Ali bin Abi Talib RA, iaitu sepupunya. Dia adalah kanak-kanak pertama yg beriman dgn nabi saw. Ali RA dibesarkan di rumah nabi saw sebelum Islam. Dia tetap bersama nabi saw sehingga baginda diutus menjadi rasul.

Mas kahwin anak-anak perempuan Nabi saw

Nabi saw mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan cara yang memudahkan -maskahwin tidak membebankan-. Selepas bersetuju untuk mengahwinkan Ali RA dgn Fatimah, Nabi saw bertanya Ali RA: “Berapa nilai maskahwin mu wahai Ali?” Ali menjawab aku tiada apa-apa untuk dijadikan belanja maskahwin. Lalu Nabi saw bertanyakan perisai yg telah dihadiahkannya kepada Ali RA dahulu. Nabi saw menyuruh Ali RA jadikannya sebagai maskahwin. Maka berkahwinlah Ali RA dgn hantaran maskahwin perisai berkenaan yg bernilai 400 dirham. (Riwayat Ibnu Sa’ad di dalam at-Tabaqat)
Itulah maskahwin anak perempuan Nabi saw yg menjadi isteri kepada khalifah ke4 khulafa’ ar-Rasyidin.

Ayahanda yang pengasih

Ketika Nabi saw hendak keluar ke medan peperangan Badar, Ruqayyah RA sedang menderita sakit. Maka Nabi saw memerintahkan Othman bin Affan (suaminya) tinggal bersama Ruqayyah RA di Madinah untuk merawatnya.Bukan itu sahaja, malah Nabi saw menetapkan sebahagian dari harta ghanimah Badar kepadanya di samping pahala yg besar di Hari Qiamat.

Ujian seorang ayah melalui anak-anak

1- Anak-anaknya diceraikan kerana Islam:

Dua anak Nabi saw iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthum diceraikan oleh Utbah dan Utaibah (anak Abu Lahab)secara zalim; tiada sebab lain kecuali kedua-duanya telah beriman dgn apa yg dibawa oleh Nabi saw.Bila turunnya ayat mencela Abu Lahab (Surah al-Masad), Abu Lahab lantas memerintahkan kedua anaknya menceraikan kedua-dua anak Nabi saw. Ruqayyah dan Ummi Kalthum kekal beriman dan Allah swt gantikan untuk kedua-duanya suami yang lebih baik daripada dua anak Abu Lahab tersebut.

2- Kematian anak-anak perempuannya:

Kadang-kadang berlaku seorang bapa itu diuji dengan kematian anak-anaknya. Allah swt berfirman:
وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمْ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لا يُفَرِّطُونَ
Dan Dialah penguasa mutlak atas semua hambaNya, dan diutusNya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila kematiandatang kepada salah seorang di antara kamu, malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya, dan mereka tidak melalaikan tugasnya.
(Surah al-An’am ayat 61)
Nabi saw diuji oleh Allah menghadapi ujian yg berat ini, anak-anaknya Ruqayyah dan Ummi Kalthum meninggal. Nabi saw menguruskan sendiri jenazah anak-anaknya itu.

Rumahtangga Nabi saw dan khadam (orang gaji)

فعن أنس بن مالك رضي الله عنه قال “خدمت رسول الله صلى الله عليه وسلم عشر سنين والله ما قال لي أفٍ قط، ولا قال لي لشيء لم فعلت كذا؟ وهلا فعلت كذا”

Daripada Anas bin Malik RA berkata: ‘Saya telah berkhidmat kepada Rasulullah saw selama 10 tahun, demi Allah! Rasulullah saw tidak pernah bercakap kasar denganku sekalipun dgn berkata ‘ah’, baginda tidak pernah persoalkan kenapa aku buat begini dan begitu!? Hendaklah kamu buat begini…’

Rasulullah saw adalah model terbaik bg umatnya. Sekalipun umatnya tidak mampu untuk mencapai kesempurnaan tersebut, sekurang-kurangnya mereka mampu mengukurnya..

Rumahtangga Nabi saw dan jiran tetangga

Para sahabat RA banyak mengambil pelajaran daripada Nabi saw dalam bermuamalat bersama jiran dgn cara terbaik. Ada orang menyembelih kambing lalu disedekahkan kpd Abdullah bin Amru. Abdullah RA berkata: ‘Aku hadiahkan sebahagiannya kepada jiran saya yg yahudi itu’. Orang tadi bertanya kenapa kepada yahudi pun kamu hadiahkan? Lalu dia berkata yg dia pernah mendengar Nabi saw bersabda:
ما زال جبريل يوصيني بالجار حتى ظننت أنه سيورثه
‘Jibril senantiasa berwasiat kepadaku tentang jiran sehingga aku menyangka dia boleh mewarisi harta-harta ku’. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhirnya….

Marilah kita bertanya diri kita masing-masing sejauhmana kita telah mengikuti apa yg telah dilaksanakan Nabi saw dlm rumahtangganya…

Harapan kita semoga bersempena Maulidur Rasul kali ini dpt mengembalikan rumahtangga kita semua menjadi lebih Islamik dgn syiar baru ‘Rumahtanggaku berdasarkan manhaj Rumahtangga Nabi saw’ -pada kasih sayang, tolong menolong,ithaar, taat, sebaran dakwah, rahmah kpd khadam, hormat kpd jiran, memudahkan tanpa menyulitkan dlm hal menentukan maskahwin, sabar dlm menghadapi ujian dan sebagainya.

Ingatlah bahawa rahsia perbezaan rumahtangga muslim terletak pada keistimewaan risalah Islam itu sendiri.

MSMSMSMSM

Dipetik dari http://abuamru1208.blogspot.com/

Comments (0)

Cerita Tak Masuk Akal

Posted on 19 March 2010 by admin

Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:
- Mana ibumu?
- Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
- Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?
- Tidak!
- Di mana pula abangmu?
- Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.
- (Ayah semakin hairan) Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?
- Tidak!
- لا حول ولا قوة إلا بالله
- Kakakmu di mana?
- Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.
- Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?
- Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Kita menerima surat dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. Surat yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada Surat yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!

Comments (0)

SubhanAllah - Open Your Eyes

Posted on 10 March 2010 by admin

Comments (0)

Video MSM

 

September 2010
M T W T F S S
« Aug    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930