Archive | Al-Qur'an & Hadith

SubhanAllah - Open Your Eyes

Posted on 10 March 2010 by admin

Comments (0)

Muhasabah Diri bersama Potongan Ayat Al-Quran

Posted on 22 February 2010 by admin

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,
Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam
Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
[Al-Alaq, 96 : 1-5]

….niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Mujaadilah, 58 : 11]

Hai orang yang berkemul (berselimut),
Bangunlah, lalu berilah peringatan!
[Al-Muddathir, 74 : 1-2]

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”
[ Fusshilat, 41 : 33]

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[Ali Imran, 3 : 110]

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.
[Ali Imran, 3 : 104]
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?
[Al-Baqarah, 2 : 140]

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-kitab, mereka itu dila’nati Allah dan dila’nati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat mela’nati.
[Al-Baqarah, 2 : 159]

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi SAKSI atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi SAKSI atas (perbuatan) kamu.
[Al-Baqarah, 2 : 143]

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. dia Telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. dia (Allah) Telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi SAKSI atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi SAKSI atas segenap manusia, Maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah pelindungmu, Maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik- baik penolong.
[Al-Hajj, 22 : 78]

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia Ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.
Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
[At-Taubah, 9 : 38-39]

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
[At-Taubah, 9 : 41]

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
[Muhammad, 47 : 7]

Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
[As-Shaff, 61 : 13]

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.
[At-Taubah, 9 : 111]

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
[As-Shaff, 61 : 10-11]

Comments (0)

Segala Perbuatan Bermula dengan Niat

Posted on 18 February 2010 by admin

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ ‏ ‏بِالنِّيَّاتِ

Ikhlas adalah tajuk yang dipilih oleh Imam an-Nawawi untuk dijadikan tajuk pertama di dalam kitabnya Riadh as-Solihin dan Hadis Arba’ein an-Nawawiyyah. Tajuk yang diilhamkan dari sepotong Hadis yang disampaikan oleh sahabat besar yang sangat hebat, iaitu sayyidina Umar bin al-Khattab (رضي الله عنه )

Kepentingan Hadis ini serta isi kandungannya digambarkan oleh Abd ar-Rahman bin Mahdi (135-198H), seorang muhaddith yang thiqah dengan kata-katanya: sekiranya aku menulis kitab yang mengandungi beberapa bab, nescaya akan aku letakkan Hadis Umar ini pada setiap bab.

Seorang ulamak besar kurun ke 7 hijriah, Ibn Abi Jamrah berkata: aku bercita-cita kalaulah ada di kalangan fuqahak seorang yang tidak ada lain kerjanya kecuali mengajar manusia tentang tujuan setiap amalan yang mereka lakukan. Dia duduk mengajar peranan dan kepentingan niat, itu sahaja. Sesungguhnya kebanyakan manusia tidak ditimpa musibah selain daripada mensia-sia niat.

Kata-kata itu memang ada asasnya. Allah (عز و جل) tidak memerintahkan hamba-Nya kecuali mengikhlaskan niat di dalam beribadah kepada-Nya seperti firman-Nya:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
(Al-Bayyinah:5)

Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم ) bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menerima daripada amalan itu kecuali yang ikhlas dan mencari keredhaan-Nya”. (Menurut al-Albani, Hadis Hasan)

Apa maksud ikhlas?

Imam Ibn al-Qayyim (رحمه الله ) di dalam kitab Madarij as-Salikin, mengemukakan beberapa pandangan ulamak mengenai ikhlas.

Pertama: Ikhlas ialah mengesakan al-Haq (Allah) pada niat di dalam taat. Maksudnya, ketaatan yang dilakukan dengan niat semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.

Kedua: Menyingkirkan perbuatan daripada pemerhatian makhluk. Maksudnya, elakkan perbuatan kita daripada tujuan mendapat perhatian manusia.

Ketiga: Amalan yang dilakukan oleh seseroang hamba itu sama pada zahir dan batin.

Keempat: Muslim meletakkan qasad (tujuan) segala perkataan dan perbuatannya hanyalah Wajah Allah Ta’ala. Dia mengharap pahala dan takut siksa, menghindarkan ria’ dan kemasyhuran di kalangan manusia.

Kelima: Lupa memandang makhluk kerana sentiasa melihat kepada al-Khaliq.

Semua makna yang dikemukakan, walaupun susunan ayatnya tampak berbeza, ia hanya menunjukkan satu pengertian bahawa ikhlas adalah satu tuntutan dan syarat diterima segala amalan.

Di dalam beberapa riwayat, Nabi (صلى الله عليه وسلم) memberi peingatan yang cukup jelas, amalan yang tidak ikhlas bukan sahaja tidak diterima, sebaliknya ia menjadi penyebab binasanya seseorang hamba. Abu Daud dan Ibn Majah meriwayatkan bahawa baginda telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang seharusnya digunakan untuk mencari redha Allah, dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu wanginya syurga pada hari qiamat kelak”.

Bagaimana mengikhlaskan niat?

Terdapat beberapa cara dan langkah yang boleh membantu dalam usaha membersihkan hati daripada anasir-anasir yang mencemarkan niat.

1. Mujahadah an-nafs, iaitu usaha gigih yang berterusan melawan nafsu yang terselit di dalam diri sendiri. Seorang ahli sufi yang terkenal waraknya, Sahal at-Tasatturiy (200-283H) pernah ditanya tentang sesuatu yang paling sukar diterima oleh nafsu. Beliau menjawab, ikhlas!

2. Sentiasa bertaqwa kepada Allah.

3. Memahami dan menghayati Kesempurnaan, Kekuasaan, Keagungan, Kekayaan, Pengawasan dan Keluasan kurniaan Allah di samping menginsafi kelemahan, kefaqiran, kehinaan dan ketidak upayaan hamba. Apakah patut kita berharap kepada hamba yang lemah dan membelakangkan Dia yang Maha Kuasa dan Maha Kaya?

4. Banyakkan doa, meminta dan merayu kepada-Nya agar dikurniakan hati yang ikhlas
(يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك)
(يا حي يا قيوم أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين أبدا)
(اللهم إني أعوذ بك أن أشرك بك شيئا أعلمه وأستغفرك مما لا أعلمه)

5. Rahsiakan ibadah dan kebaikan yang dilakukan seboleh mungkin.

6. Mengkritik diri dan menghisabnya dari masa ke masa berkaitan dengan niat.

7. Memerhati akan pantasnya kehidupan dunia dan cepatnya menuju kehancuran, seraya berfikir tentang akhirat, kenikmatan serta kesengsaraan yang tidak berkesudahan.

8. Waspada sentiasa terhadap godaan perasaan kagum kepada diri sendiri, seronok dipuji, suka memimpin dan menonjolkan diri. Perhati dan rawati selalu agar tidak bertapak menjadi penyakit yang sukar diubati.

الله أعلم

Dipetik dari http://zaadut-taqwa.blogspot.com

Comments (1)

Hakikat Hamba

Posted on 27 November 2009 by admin

Assalamualaikum saudara seiman yang dikasihi,
Sempena AidilAdha, sukalah saya untuk menuliskan secebis kisah dari Surah Al-Saffat untuk tatapan kita semua. Moga bermanfaat dan membangun jiwa.

“Dan Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.’ ” (Al-Saffat : ayat 99)
“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.” (Al-Saffat: ayat 100)
“Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.” (Al-Saffat: 101)
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur yang sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!’, Dia menjawab ‘Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, inshaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.’ “ (Al-Saffat: ayat 102)
“Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas di atas tengkuk(nya) , (nyatalah kesabaran kedua-duanya)” (Al-Saffat: ayat 103)
“Dan Kami panggillah dia: ‘Wahai Ibrahim, ” (Al-Saffat: ayat 104)
“Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Saffat: ayat 105)
“Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.” (Al-Saffat: ayat 106)
“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Al-Saffat: ayat 107)
“Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (Al-Saffat: ayat 108)
“iaitu: ‘Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim’ ” (Al-Saffat: ayat 109)
“Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Saffat : 110)
“Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.” (Al-Saffat: ayat 111)

Inilah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Allah ceritakan untuk kita ‘orang-orang yang datang kemudian’. Begitu benarnya dan tulusnya ucapan-ucapan dari bibir mereka, hingga Allah mengabadikan dialog perbualan antara mereka berdua di dalam Al-Quran untuk kita pelajari dan selami. Memetik kata-kata Nabi Ismail yang masih muda, yang Allah mengiyakannya sebagai ‘anak yang amat sabar’, mempamerkan keimanan setanding ayahnya…
‘..Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, inshaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.’ “
(Apalah pula agaknya nilai kata-kata yang keluar dari bibir kita? recording in progress by Rokib & Atid)

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membuktikan penyerahan diri yang penuh kepada Allah SWT. Seseorang yang menyerahkan dan menundukkan jiwanya, jasadnya, hartanya, hidupnya dan segala-gala yang dimiliki untuk Allah, itulah dia seorang Muslim. Telah nampak hakikat kehambaan yang sejati dalam kisah ini. Bahawa sang hamba tidak ada pilihan kecuali untuk taat patuh secara tulus kepada Tuhannya, walau apapun yang terjadi. Mengetepikan perasaan, keperluan dan kemahuan sendiri. Ini suatu teladan kehambaan yang mesti ditiru setiap orang beriman yang berjuang mengejar darjat kehambaan, merasa bahawa Allah itu Maha Agung dalam hatinya.

Dan tidak ada jalan lain untuk merasa hamba, melainkan dengan taat yang total, tanpa soal, tanpa takut-takut dan tanpa ragu kepada setiap perintah Tuhannya – seperti Ibrahim, seperti Ismail dan tidak lupa, seperti ibu Nabi Ismail, Hajar ketika ia akur ditinggalkan di tengah-tengah gurun dahulu.

Kerana itu, Allah membuat persaksian, satu pengisytiharan yang mulia dalam ayat seterusnya,
“Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.” (Al-Saffat: ayat 111)

Hebatnya pengorbanan mereka, Allah mengabadikan kisah keluarga ini - percakapannya, perlakuannya bahkan lokasinya dalam ibadah haji dan korban, serta dijadikan hari raya AidilAdha. Supaya setiap Muslim akan bercermin kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pada setiap tahun.

Ia bukan sekadar tentang ritual ibadah atau adat berhari raya.
Ini kisah kehambaan, kisah ketaatan dan kisah kecintaan kepada Allah SWT.
Moga kita dapat membangun semangat dan jiwa kehambaan persis Nabi Ibrahim dan Ismail dalam hidup kita sehari-hari.

~ Salam AidilAdha 1430 Hijriah dari Maktab Media

Comments (0)

Apa Makna IHSAN kepada Ibu Bapa

Posted on 09 November 2009 by admin

Oleh: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria (dipetik dari http://abuamru1208.blogspot.com)

Assalamualaikum wrt. wbt.

Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan. Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang memperkatakan tentang itu.

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra’ Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan “ah”** dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah..”Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku.”

** mengucapkan kata “ah” kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:

1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah Ta’ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.

2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa, sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: “Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?” Nabi menjawab: “Solat dalam waktunya.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?”. Nabi saw menjawab: “Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?” Nabi saw menjawab: “Berjihad fi sabilillah.”

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi saw menjadikan ‘birrul walidaini’ -berbuat baik kepada ibubapa- seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.

3. Di antara makna ‘birrul walidaini’ dan ‘ihsan’ kepada kedua ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf. Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?” Rasulullah saw menjawab: “Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi membalas dengan memaki ibu dan bapanya.”

4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara’, sama halnya ‘birrul walidaini’ bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan maksiat.

5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: “Saya ada seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: ” Wahai Abdullah ibnu Umar! Ceraikan isterimu itu.” (Hadith Hasan lagi Sahih).

6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Bapa kamu.”

Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

7. Tidak dikhususkan ‘birrul walidaini’ hanya kepada ibubapa yang muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun mereka kafir.

8. Termasuk yang dimaksudkan ‘ihsan’ kepada kedua-dua ibubapa ialah apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk berjihad, maka Nabi saw bertanya: “Adakah kedua ibubapamu masih hidup?” Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: “Maka untuk kedua-dua ibubapamu hendaklah kamu berjihad.” (Riwayat Muslim).

Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: “Ya, masih hidup dan aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw bersabda: “Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis.”

Dalam riwayat yang lain lagi…. Nabi saw bersabda: “Tidur kamu bersama kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih afdhal daripada kamu berjihad bersama aku.”

9. Ulama’ berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?

Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak perlu.

10. Sebagai penyempurna dalam ‘birrul walidaini’ ialah menghubungkan silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa…

Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan berbapakan da’ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu hari nanti. Ingatlah kisah ‘Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan… Bagaimana ibu-ibu dan bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya; bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh….

Sila rujuk - al-Jaami’ Li Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah.

Comments (5)

Mencari ‘Teman’

Posted on 02 November 2009 by admin

Di dalam satu hadis Rasulullah, daripada Umar bin Khattab r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda;

“Sesungguhnya sebahagian dari hamba Allah terdapat sekelompok manusia. Mereka itu bukan dari golongan Nabi dan tidak pula dari golongan syuhada, akan tetapi para Nabi dan syuhada merasa iri atas kedudukan mereka di sisi Allah Ta’ala. Mereka berkata: ‘Hai Rasulullah, tolong beritahu siapakah mereka itu?’, kemudian jawab Baginda (s.a.w): ‘Mereka adalah suatu kaum yang saling mencintai kerana Allah Taala bukan atas dasar hubungan keturunan di antara mereka, dan juga bukan kerana wang yang mereka berikan. Maka demi Allah Ta’ala, sesungguhnya wajah mereka memancarkan cahaya, cahaya yang sangat terang. Mereka tidak merasakan takut ketika orang lain merasa takut, dan mereka tidak merasa khuatir ketika orang lain dilanda kekhuatiran”.

Sahabat merupakan satu anasir yang setiap insan pasti tidak boleh hidup tanpa mereka. Lihatlah betapa Allah Taala memuliakan sebuah persahabatan sehingga menjadi suatu yang diirikan oleh golongan para Nabi a.s. dan para syuhada.

Syaratnya apa? Syaratnya, persahabatan yang terjalin hendaklah di atas landasan iman. Kasih sayang antara mereka adalah untuk masing-masing melihat pembentukan diri yang dihalatujukan untuk memperoleh keredhaan Yang Maha Esa.

Isu mencari sahabat terutamanya bagi pelajar yang tinggal di bumi yang jauh dari keluarga dan jauh daripada undang-undang Islam sangatlah relevan dan perlu diberikan perhatian. Di bumi UK dan Ireland ini khususnya, bejana minda kita banyak dipenuhi oleh pengaruh-pengaruh barat yang melalaikan. Kita dihidangkan dengan visual-visual dan fahaman-fahaman yang tiada lain selain berobjektifkan kepuasan hawa nafsu dan materialistik.

Renungilah kembali apa yang dikhuatiri oleh malaikat ketika mana Allah s.w.t. memerintahkan beliau menjenguk api neraka dan syurga. Beliau sangat khuatir banyak manusia akan terperangkap dengan kenikmatan dunia yang mengalpakan yang diletakkan di sekeliling api neraka. Dalam pada itu, kesengsaraan dan penderitaan dalam perjuangan menaikkan Islam yang memagari syurga membuatkan hanya sedikit sahaja antara kita yang mampu dan sanggup menempuhinya.

Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat, “Apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik? Baginda s.a.w. menjawab (dengan maksud), “Dia adalah teman yang bersama-sama membantu kita ketika mana kita mengingati Allah s.w.t. dan dia jugalah yang memberi peringatan kepada kita ketika mana kita alpa dan lalai dalam mengingati-Nya”.

Sahabat bertanya lagi, “Apakah pula ciri-ciri sahabat yang tidak baik?” Baginda s.a.w. membalas (dengan maksud), “Dia adalah teman yang bukan sahaja tidak membantu kita semasa kita mengingati Allah s.w.t. malahan dia juga tidak menegur semasa kita alpa dalam dosa dan maksiat.”

Di dalam hadis lain yang biasa kita dengar (dengan maksud), “Dekatilah orang yang menjual minyak wangi. Sesungguhnya bau wangiannya itu akan turut mewangikan kita. Jangan dekati tukang buat besi kerana bau busuk yang ada padanya akan melekat kepada diri kita.”

Renungilah dan hayatilah bagaimana Rasulullah s.a.w. mengajar kita mencari seorang sahabat yang sejati. Teman yang baik adalah teman yang sering mengajak kita untuk melakukan amal kebajikan. Teman yang baik juga saling tegur-menegur bukan kerana untuk menunjuk kepandaiannya tetapi bimbang akan sahabatnya daripada terjerumus kepada dosa dan kemurkaan Allah Ta’ala. Perkara ini turut diajar oleh Allah Taala di dalam kitabNya. Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat ke-28 yang bermaksud,

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

Sekarang cuba kita cerminkan kembali kepada diri kita. Adakah insan yang rapat dan hampir dengan kita memiliki ciri-ciri sepertimana yang diajar oleh Allah Ta’ala dan rasul-Nya? Atau adakah diri kita sendiri yang merupakan sahabat kepada orang lain turut memiliki ciri-ciri ini?

Renungi diri kita, adakah selama kita berkawan dengan mereka, pembinaan diri kita dari segi ilmu, akhlak dan segenap aspek kehidupan kita hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan-Nya atau adakah sebaliknya?

Oleh: Shahrir Rizal Kasjoo

Comments (1)

Bicara Qiadah - ‘Post’ Ramadhan

Posted on 10 October 2009 by srkad

Ramadhan telahpun berlalu. Justeru, marilah sama-sama kita renung ke dalam diri, sejauhmana kita telah mencapai objektif sebenar Ramadhan.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-183:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

Makna Taqwa

Perkataan taqwa acapkali kita dengari ketika khatib membacakan khutbah pada setiap hari Jumaat. Kita dipesan supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Taala dan saling ingat-memperingati antara satu sama lain tentang bertaqwa.

Perkataan taqwa pada asalnya bererti seseorang hamba itu meletakkan pelindung yang dapat melindungi dirinya daripada perkara yang ditakuti dan diawasinya. Jadi, taqwa seseorang hamba kepada Tuhannya ialah dengan membina pelindung yang dapat melindungi dirinya daripda kemurkaan dan hukuman Tuhan yang ditakutinya, iaitu dengan melakukan ketaatan terhadapNya dan menjauhi laranganNya.

Bagi seorang muslim, perkataan taqwa membawa makna yang cukup besar. Allah Taala berfirman di dalam Surah Al-Hujurat, ayat ke-13 yang bermaksud,

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Kelebihan Orang Bertaqwa

Orang yang bertaqwa kepada Allah Taala bukan sahaja dipandang paling mulia di sisi Allah Taala, malah kehidupannya di dunia juga dikurniakan kelebihan-kelebihan yang tidak akan dimiliki oleh orang lain. Antara kelebihan orang bertaqwa telah tercatat di dalam surah At-Talaq seperti berikut:

1. Dikurniakan Jalan Keluar Bagi Setiap Permasalahan

“… Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.”

(At-Talaq: Ayat 2)

2. Datangnya Rezeki Tanpa Disangka-sangka

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya …”

(At-Talaq: Ayat 3)

Ayat di atas merupakan sambungan dari ayat yang ke-2 dan ia merujuk kepada orang yang bertaqwa kepada Allah Taala.

3. Dipermudahkan Segala Urusan

“… Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.”

(At-Talaq: Ayat 4)

4. Dihapuskan Dosa Dan Digandakan Pahala

“Itulah perintah Allah Yang diturunkanNya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.”

(At-Talaq: Ayat 5)

Bukankah ini yang kita idam-idamkan dalam kehidupan kita? Bukankah kita inginkan agar segala urusan kita dipermudahkan? Bukankah kita juga inginkan agar Allah Taala sentiasa menurunkan rezekiNya tanpa henti-henti terutamanya sewaktu kita berada di dalam kesusahan? Sebagai manusia yang tidak boleh lari dari melakukan dosa, sudah pasti kita ingin dan mengharapkan keampunan Allah Taala untuk melepaskan diri dari seksaan azab neraka di akhirat nanti.

Sesungguhnya inilah janji-janji Allah Taala kepada hambaNya yang bertaqwa. Akhir kalam renungilah kata-kata Ibnu Mu’taz sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Hindarilah dosa yang kecil dan yang besar,
Itulah taqwa namanya.

Buatlah seumpama pejalan kaki di permukaan yang berduri,
Dia berjaga-jaga daripada duri yang ilihatnya.

Jangan sekali-kali kamu memandang rendah sesuatu yang kecil,
Kerana sesungguhnya gunung itu (asalnya) daripada batu-batu yang kecil.

Oleh: Shahrir Rizal Kasjoo

Comments (0)

Ayuh Tingkatkan Amal di Bulan Rejab

Posted on 07 July 2009 by srkad

‘Eh, eh dah hampir 15 Rejab dah. Rasanya baru aje lagi aku puasa 1 Rejab tempoh hari. Satu hari je puasa yang aku dah dapat.’

‘Alamak, dah nak habis Rejab. Takpelah, masuk Sha’aban nanti aku pulun ibadat habis-habisan’.

‘Wah, dah bulan Rejab. Lepas ni Sha’aban. Kemudian Ramadhan. Lepas tu dah RAYA! Hmm, kat mana aku nak beraya tahun ni ye. Alamak,baju belum tempah! Harap-harap taylor aku terima lagi tempahan’

Sedar tak sedar hampir separuh bulan Rejab telah berlalu. Bulan yang ke-7 dalam kalendar hijrah Islam. Bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Ketika zaman Rasulullah s.a.w, bulan Rejab dianggap sebagai salah satu bulan mulia atau bulan haram di mana peperangan adalah diharamkan.

Seringkali bila tibanya bulan Rejab, ia adalah petanda bahawa Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Kerana itu, ummat Islam dianjurkan untuk berdoa sepanjang bulan Rejab dan Sya’ban sehinggalah tiba Ramadhan. Berdoa semoga ditemukan kembali dengan Ramadhan dalam keadaan sihat dan dapat melaksanakan ibadah puasa, qiam dan yang seumpamanya dengan sempurna dan diterima oleh Allah. Harapan kita biarlah bertambah amal ibadah kita dalam bulan-bulan ini dan berkuranglah dosa-dosa kita.

“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”

Bagi pelajar-pelajar yang menuntut di United Kingdom, Ireland dan Eropah, bulan Rejab tahun ini jatuh tepat ketika cuti musim panas. Cuti panjang selepas pelajar-pelajar berhempas pulas menghadapi peperiksaan akhir semester. Kebanyakan pelajar ketika ini pastinya memilih untuk pulang bercuti di tanah air atau mengambil kesempatan musim panas yang panjang siangnya ini untuk berjalan-jalan di Eropah. Tidak kurang juga yang memanfaatkan cuti untuk menambahkan ilmu-ilmu agama dan melakukan amal-amal dakwah di medan masing-masing.

 

Rejab pintu Ramadhan

Orang mukmin akan menggunakan bulan Rejab dan Syaaban untuk menyiapkan diri sebagai pintu masuk ke bulan Ramadhan. Mereka menyiapkan diri baik secara fizikal mahu pun dari segi ruhiyah(spiritual). Mereka mencuci jiwa mereka terlebih dahulu sebelum datang bulan suci Ramadhan agar apabila tiba, jiwa mereka siap sedia menyambut nur, barakah dan fadhilahnya dari Allah. Ini adalah antara ciri orang-orang yang beriman.

Dalam Surah Al-Mukminun, ayat 61 Allah SWT berfirman:

“Mereka itu bersegera dalam kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang lebih dahulu memperolehinya.”

Tertanya-tanya pada diri, sejauh mana telah berjaya memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini. Kadangkala kita disibukkan dengan urusan dunia sehingga kita terlupa dengan hal-hal penting seperti ini. Apatah lagi bila sedang bergembira bersama keluarga tercinta. Banyak komitmen-komitmen keduniaan yang lebih kita utamakan berbanding komitmen kita untuk menyambut Ramadhan. Paling menyedihkan, mungkin ada di antara kita yang jauh melihat ke hadapan. Sibuk dengan persiapan menghadapi Syawal berbanding persiapan memasuki Ramadhan.

Bagi penulis sendiri, sedih untuk mengakui bahawa kehadiran Rejab hanya disedari di pertengahan kehadirannya. Awalnya dilekakan dengan tuntutan pelajaran sehingga setelah selesai tugasan, diri masih leka mencari kerehatan dan keseronokan yang entah apa-apa. Insya Allah, belum terlambat pastinya. Di saat-saat akhir Rejab melabuhkan tirainya ini, marilah kita semua berhenti sebentar untuk merenung dan berfikir. Marilah kita melakukan persiapan untuk melalui madrasah Ramadan bermula dari bulan Rejab yang mulia ini.

 

Persiapan kita

Antara amalan utama kita di bulan Ramadhan nanti ialah berpuasa di siang hari, melakukan solat sunat Tarawih di kala malam dan membaca Al-Quran dengan sebanyak mungkin di samping amalan-amalan lain yang diajarkan Rasulullah s.aw. Kita juga ingin menjadi antara pengejar-pengejar malam Lailatul Qadar. Beriktikaf dan berqiyamullail setiap malam untuk mendapatkan keampunan dan redhaNya. Semua persiapan untuk ini memerlukan latihan dan ia bisa dilakukan pada dua bulan yang mendahului Ramadan.

Pada bulan-bulan ini, kita dapat melatih diri menambah kuantiti dan kualiti ibadah kita seperti solat, agar kita tidak akan merasa janggal untuk melakukan banyak solat sepanjang bulan Ramadan. Biarlah kita membiasakan diri melaksanakan solat-solat sunnah sehingga ia menjadi rutin.

Kita juga perlu meningkatkan pembacaan Al-Quran. Jika kebiasaan kita hanya membaca beberapa muka Al-Quran sehari, pada bulan-bulan ini boleh dilatih untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti tilawah. Dengan itu kita tidak akan merasa terlalu dibebani untuk menyempurnakan pembacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan. Target kita agar kita sempat mengkhatamkan satu Al-Quran di bulan Ramadhan nanti atau lebih dari itu.

Kita juga digalakkan untuk membiasakan diri menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu. Melatih diri tenang dan gembira berada dalam suasana yang solehah. Suasana yang menggalakkan kita untuk mengingati Allah dan meningkatkan iman. Jauh dari maksiat dan perkara yang melekakan. Bersempena dengan bulan haram Rejab, kita haramkan diri dari melakukan perkara yang sia-sia, perkara-perkara jahiliyyah, dan kita berazam untuk menanggalkan terus karat-karat jahiliyyah setibanya Ramadhan.

Dengan melakukan semua ini, kita berdoa kepada Allah SWT agar Dia memberi kepada kita peribadi yang lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu. Menjadi insan yang lebih sempurna.

 

Merencana dan bersungguh-sungguh dalam amal

Secara tidak langsung, Islam sebenarnya ingin mengajarkan kepada kita bahawa untuk mencapai keberhasilan dan kejayaan maka perencanaan rapi, tindakan dan latihan yang bersungguh-sunguh adalah suatu keperluan. Tanpanya kita tidak akan mencapai hasil yang baik yang diingini. Inilah salah satu formula kejayaan.

Kita tidak boleh melaksanakan sesuatu hanyalah sekadar sambil lewa, dan dengan sewenangnya menyerahkan segalanya kepada takdir atau nasib. Dan apabila kita gagal, kita bertindak menyalahkan nasib dan takdir.

Bukanlah kita menafikan iradah dak takdir Allah SWT dalam setiap perkara. Tetapi dalam banyak hal, Allah SWT mentakdirkan apa yang berlaku bergantung kepada tindakan manusia. Manusia yang memilih untuk berjaya atau gagal. Jika seseorang gagal untuk merencana dan membuat persiapan yang perlu, pasti akan gagal, dan itulah yang ditentukan oleh Allah.

Namun, setelah persiapan dan perancangan dengan penuh rapi dan teliti dilakukan, maka Allah SWT adalah penentu segala natijahnya. Berhasil atau gagal, Allah SWT Maha Mengetahui. Jika kit gagal, inilah ujian Allah untuk kita terus berusaha dan redha dengan apa yang ditakdirkanNya. Mungkin ujian ini adalah ruang untuk kita menilai kembali perancangan kita, belajar dari kesilapan dan kelemahan, dan untuk membuat persiapan yang lebih baik di masa mendatang.

Apa pun, bukan setakat perencanaan menghadapi dunia yang kita risaukan tetapi apa yang lebih utama adalah persiapan untuk menghadapi kematian dan kehidupan selepasnya. Kematian yang kita sendiri tidak ketahui bila akan menjemput.

“Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

(Al-Munafiqun: 11)

Tibanya Rejab tahun ini marilah kita mengambil kesempatan untuk membuat perancangan dan perencanaan. Walau di mana kita berada, kita jadikan Rejab dan Syaaban sebagai medan meningkatkan amalan. Hidupkan biah-biah keimanan dan kebaikan di sekililing kita.

Semoga kita dapat sama-sama memasuki madrasah Ramadhan tahun ini dengan penuh persediaan. Semoga natijah melalui taman-taman Rejab, Syaaban dan Ramadhan memberi bekalan maksimum bagi kita dalam menghadapi masa depan, di dunia dan di akhirat. Semoga Allah SWT menerima amal-amal kita dan menggolongkan kita bersama orang-orang yang bertaqwa

 

Comments (0)

Qiyamullail

Posted on 25 June 2009 by srkad

Qiyamullail atau bangun malam untuk mengerjakan ibadat merupakan amalan yang cukup tinggi darjatnya di sisi Allah Taala. Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Isra’ ayat 79 yang bermaksud,

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

Dalam ayat yang lain dari surah Al-Muzammil ayat 6, Allah Taala berfirman,

“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

At-Tabrani meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad r.a daripada Rasulullah s.a.w, sabda baginda:

“Kemuliaan seorang Mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat)”

Lihatlah janji Allah Taala kepada hambaNya yang ikhlas mengerjakan ibadat malam. Betapa untungnya mereka yang bangun malam, sujud menghadap Tuhan yang satu di kala manusia lain sedang lena dibuai mimpi. Kepayahan dan kesukaran untuk bangkit pada malam hari digantikan dengan kedudukan yang tinggi dan terpuji oleh Allah Taala di akhirat nanti. Alangkah bahagianya insan yang tergolong dalam kelompok manusia ini. Tidakkah kita mahu menjadi seperti mereka?

Renungilah kisah agung di bawah.

 

Suri Teladan

Imam Syahid Hasan Al-Banna menghadiri sebuah mu’tamar di Daqhaliah. Selesai sahaja mu’tamar, Imam Syahid bersama dengan Ustaz Umar Tilmisani bergegas ke sebuah bilik berisi dua tempat tidur. Masing-masing dari keduanya pun berbaring di atas tempat pembaringannya.

Beberapa minit kemudian, Imam Syahid bertanya:

“Wahai Umar, apakah kau sudah tidur?”

Ustaz Umar menjawab:

“Belum.”

Beberapa saat kemudian, Imam Syahid mengulangi pertanyaan dan dijawab dengan jawapan yang sama.

Akhirnya, Umar berkata dalam hati:

“Jika Ustaz Hasan bertanya lagi kepada saya, akan saya diamkan sahaja.”

Setelah ditanya berkali-kali, disangka bahawa Ustaz Umar telah tidur.

Kemudian, Ustaz Hasan Al-Banna keluar terhendap-hendap perlahan dari kamar tidurnya dengan terinjut-injut kakinya. Perlahan-lahan beliau berjalan ke tempat mengambil wudhu’ tanpa alas kaki risau kemungkinan Ustaz Umar terjaga mendengar derap bunyi selipar. Lantas beliau berwudhu’ dan kembali ke bilik. Di ruang yang paling hujung, beliau lalu membentang kain sejadahnya dan mulai melaksanakan solat tahajjud.

 

 

Comments (0)

Fiqh Dakwah Dalam Surah Yasin

Posted on 27 May 2009 by srkad

 

Dalam edisi kali ini kita cuba paparkan satu kisah sebagai suri teladan semua. Kisah ini mengandungi banyak pengajaran yang kita boleh ambil dalam usaha kita menyebarkan risalah penyelamat ini.

Latar belakang

Yasin: 13-19

Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka. 13

(iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang ketiga, maka ketiga utusan itu berkata: “Sesungguhnya kami adalah orang-orang diutus kepadamu”. 14

Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta belaka”. 15

Mereka berkata: “Tuhan kami mengetahui bahwa sesungguhnya kami adalah orang yang diutus kepada kamu”. 16

Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas”. 17

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa yang pedih dari kami”. 18

Utusan-utusan itu berkata: “Nasib malang kamu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampui batas”. 19

Terdapat perbezaan pendapat berkenaan dengan nama kampung dan hakikat identiti pendakwah tersebut. Ada yang mengatakan bahawa kampung tersebut adalah Antioch, di Syria. Riwayat yang kita dapati ada mengatakan bahawa utusan tersebut adalah utusan yang dihantar oleh Nabi Isa as kepada penduduk Antioch. Riwayat yang tidak bersetuju dengan pandangan ini mengatakan bahawa riwayat-riwayat ini didapati daripada sumber Israiliyyat dan mengatakan bahawa Antioch adalah salah satu kampung yang menerima seruan Nabi Isa as dengan mudah berbeza dengan sikap penduduk kampung dalam kisah al-Quran ini.

Identiti kampung tersebut tidak pernah diterangkan secara teliti melalui al-Quran dan hadeeth sahih, dan hikmah kisah ini, seperti banyak kisah-kisah lain dalam al-Quran, terletak bukan pada fakta-fakta kering, tapi kepada pengajaran di sebaliknya yang sentiasa hidup di sepanjang zaman tidak terikat kepada masa dan tempat.

Para penduduk kampung tersebut terdiri dari kalangan mereka yang tidak beriman kepada Allah malah melakukan kezaliman terbesar iaitu menyengutukan Allah. Mereka menolak utusan tersebut dengan alasan mereka juga manusia. Tidak mungkin manusia boleh menjadi utusan Allah.

Penduduk Makkah pada zaman Rasulullah saw turut menolak baginda dengan alasan yang sama:

1) Makan dan minum serta berjalan di pasar: Al-Mukminun: 7, 33, 34

2) Ada kuasa sihir: Al-Anbiya: 3

3) Manusia tidak boleh menjadi Rasul, kenapa tak hantar malaikat saja: Al-Mukminun: 24

Penduduk bandar tersebut bertindak merancang untuk membunuh para utusan tersebut.

Fiqh 1: Usaha seruan kepada Allah memerlukan usaha kolektif. Ini adalah sunnatullah, 3 orang yang sabar lebih kuat daripada 2 orang yang sabar dengan izin Allah. Allah mengirim seorang lagi utusan kepada kampung tersebut selepas 2 orang sebelumnya ditolak bulat-bulat oleh penduduk. Yasin: 14

Pemuda dan dakwah

Yasin: 20-25

Dan datanglah dari hujung kota, seorang rijal dengan bergegas-gegas dia berkata: “Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu”. 20

Ikutilah orang yang tidak meminta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. 21

Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan? 22

Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selainNya jika (Allah) yang Maha Pemurah menghendaki kemudaratan terhadapku, nescaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku? 23

Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. 24

Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan) ku. 25

Sesetengah pendapat mengatakan pemuda yang disebut dalam kisah ini adalah Habib An-Najjar. Ada yang menganggap ayat 25 merujuk kepada pengisytiharan pemuda tersebut kepada kaumnya, sesetengah yang lain menganggap kata-kata itu ditujukan oleh pemuda kepada para utusan. Allah lebih mengetahui.

Fiqh 2: Pendokong-pendokong Islam harus bertindak pantas lebih-lebih lagi apabila terdapat bahaya yang mengancam dakwah Islam. Dalam kisah ini, lelaki tersebut diceritakan berlari dari lokasi kampung yang paling jauh, demi menyeru kaumnya supaya mengikut seruan para utusan yang sedang dalam bahaya. Yasin: 20

Fiqh 3: Dua ciri-ciri para utusan yang harus ada pada pendokong-pendokong Islam - [tidak meminta balasan daripada yang diseru] [berdiri di atas petunjuk yakni bukan di atas al-hawa] Yasin: 21

Fiqh 4: Serulah kepada manusia seolah-olah kita sedang menyeru kepada diri kita sendiri. Kita menyeru manusia apa yang kita seru kepada diri kita juga. Pendokong Islam tidak patut menyeru manusia dan dalam masa yang sama meletakkan diri sendiri di luar seruan tersebut, seolah-olah seruan Islam hanya ditujukan oleh Allah kepada yang diseru bukan kepada yang menyeru. Pendakwah menyeru kepada conscience sebelum menyeru kepada akal. Yasin: 22-24

Fiqh 5: Selepas berdakwah, pendokong Islam harus menyatakan pendiriannya di dalam perkara yang didakwah itu. Yasin: 25

Sunnatullah dan da’i yang tulus ikhlas

Yasin: 26-27

Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga”. Dia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui. 26

Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan”. 27

Pemuda ini akhirnya mati syahid semata-mata kerana beliau beriman kepada Allah dan ajaran para utusanNya. Beliau wafat akibat direjam, dan menurut Qatadah, penduduk kampung tersebut telah merejam beliau ketika beliau sedang berdoa: “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” Mereka terus merejam beliau sehingga beliau wafat dalam keadaan sedang mendoakan hidayah untuk kaumnya. Semoga Allah merahmati beliau.

Allah telah mengambil beliau ke sisiNya , sebagaimana Dia mengambil Yasir ibn Amir, Sumayyah binti Khabbab dan Khubayb ibn Adi begitu juga ramai lagi di sepanjang jalan dakwah ini.

Detik seterusnya begitu menusuk jiwa raga. Ketika Allah memberinya khabar gembira tentang syurga, beliau masih mengingati kaumnya yang ingkar seraya berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui” walhal beliau sudah dipelawa oleh Rabb al-Jalil.

Seolah-olah beliau cuba berkata: “Kalaulah mereka mengerti apa yang aku saksikan ini, dan mengambil pengajaran dari kematianku, jika tidak semasa hidupku dan seterusnya mengikut jalan yang benar.”

Ibnu Abbas berkata: “Beliau tulus ikhlas terhadap kaumnya semasa hidup dengan berkata, ‘Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu” dan tetap dalam keadaan itu setelah wafat dengan berkata, “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui, apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan.”

Rujukan:

Tafsir Tafhim Al-Quran oleh Al-Maududi

Tafsir Quran Al-Azeem oleh Ibnu Kathir

Comments (0)

Video MSM

 

September 2010
M T W T F S S
« Aug    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930