Archive | Buku

Buku 3: La Tahzan (Yang Lalu Biarlah Berlalu)

Posted on 10 May 2010 by admin

a_matter_of_time__by_canisloopus.jpg

Mengingati masa lalu dan menghadirkan kembali dalam kehidupan kita sekarang, kemudian bersedih di atas kedukaan dan kegagalan di dalamnya merupakan suatu tindakan yang bodoh dan gila. Itu sama ertinya dengan membunuh semangat, membunuh harapan dan menghalangi diri untuk menjalani kehidupan seadanya.

“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
(Al-Furqan:2)

stress.jpg

Bagi orang yang berfikir, peristiwa masa lalu akan dilipat dan tidak akan dilihat kembali. Kita harus mengurung dan melupakannya di dalam penjara, mengikatnya dengan tali yang sangat kuat agar tidak dapat keluar melihat cahaya. Dengan demikian, tidak akan ada lagi kesedihan, kedukaan dan kegagalan lain. Semuanya tidak akan dapat berulang dan hidup kembali, kerana ianya memang sudah tiada lagi.

“Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak”
(An-Nisa’:19)

shadow-238-x-350.jpg

Janganlah anda hidup di dalam mimpi-mimpi buruk masa lalu, atau hidup di bawah bayang-bayang kesedihan masa lalu. Angkatlah diri anda dari fantasi tersebut! Dengan kembali ke masa lalu, bererti anda akan merasakan kembali keresahan dan ketakutan. Membuka lembaran masa lalu hanya akan merosakkan suasana yang ada dan mensia-siakan usaha yang selama ini telah dilakukan. Semuanya yang berlalu dan tidak akan berulang kembali. Dan tidak ada manfaatnya memutar roda sejarah untuk melukiskan bencana pada zaman itu.

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah:216)

flour.jpg

Manusia yang berusaha kembali ke masa lalu, tidak ubah seperti seorang yang mengguling tepung, padahal dirinya sendiri terguling di dalamnya. Ada ungkapan nenek moyang kita dahulu yang patut direnungkan oleh orang yg menangisi masa lalu. “Janganlah kalian mengeluarkan mayat-mayat itu dari kuburnya.”

clock.jpg

Manusia sebenarnya tidak perlu melihat masa lalu dan memalingkan wajahnya ke belakang kerana angin akan terus berhembus ke depan; air akan mengalir ke depan; setipa kafilah akan terus berjalan ke depan. Oleh kerana itu, janganlah menyalahi sunnah kehidupan dan menangisi peristiwa yang telah berlalu.

“Dan Allah itu berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”
(Yusuf:21)

Comments (1)

Buku 3: La Tahzan (Ya Allah!)

Posted on 08 March 2010 by admin

latahzan.jpg

Apabila laut bergelombang; ombak bergelora; dan angin bertiup kencang; semua penumpang kapal berteriak: “Ya Allah”.

Apabila seseorang tersesat di tengah padang pasir; kenderaan menyimpang jauh dari laluannya; dan para kafilah merasa kebingungan menentukan arah perjalanan, maka mereka berseru: “Ya Allah!”.

Apabila tertimpa musibah; bencana melanda dan berlakunya tragedi; ia akan menyebut: “Ya Allah!”.

Apabila pelbagai masalah tidak mampu diselesaikan, setiap jalan terasa terhimpit, harapan terhenti, dan semua jalan pintas telah buntu mereka semua menyeru: “Ya Allah!”.

ship-214-x-214.jpg

Hanya kepadaNyalah sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yang indah, doa yang ikhlas, bisikan yg jujur, air mata yg menitis penuh keikhlasan, dan ratapan derita yang membingungkan.

Hanya kepadaNyalah kedua telapak tangan dihulurkan setiap kali mejelang subuh mengharapkan pertolonganNya dengan tatapan mata hamba yg penuh harapan.

Lidah pula asyik bersenandung menyebut namaNya, memohon, mengharap dan memanggilNya agar hati menjadi damai, jiwa terasa tenang, perasaan menjadi tenteram dan keyakinan menjadi mantap.

muslim-prayer-thumb.jpg

Ya Allah, gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan, balasan kesedihan dengan kegembiraan, dan hilangkanlah perasaan takut ini kepada ketenteraman.”

Ya Allah, berikanlah rasa mengantuk sebagai kenyamanan bagi mata yang tidak dapat pejam. Berikan rasa damai bagi jiwa yang resah ini suatu kedamaian dan kurniakanlah kami dengan kemenangan yang nyata.”

Ya Allah, sejukkan gelora hati ini dengan salji keyakinan, dan padamkan gelojak api jiwa dengan air keimanan.”

Ya Allah, hindarkan kami dari segala macam kesedihan, hilangkan kesengsaraan dan jauhkan segala kegelisahan dari jiwa-jiwa kami.”

“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang.”
(13:28)

“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan yang lain? Amat sedikitlah kamu mengingatiNya”
(27:62)

Comments (0)

Buku 2: Tarbiyah Dzatiyah (Meluaskan Ilmu dan Wawasan)

Posted on 10 December 2009 by admin

3. Mencari ilmu dan memperluaskan wawasan.

Ini adalah sarana yang penting kerana bagaimana hendak membina diri jika tidak tahu hal halal, haram, kebenaran, kebatilan, manhaj dan sarana yang benar atau yang salah?

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab: Ketahuilah mencari ilmu itu wajib dan menyembuhkan hati yang sakit. Yang paling penting bagi seseorang ialah dia tahu tentang agamanya. Sebab, mengetahui dan mengamalkannya itu jalan ke syurga.

Ilmu asas Tarbiyyah Dzatiyah adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w . Ilmu-ilmu tersebut menghasilkan ketaqwaan kepada Allah, mewujudkan perasaan takut kepadaNya, selalu diawasiNya, menunjukkan ketaatan kepadaNya, tahu hukum-hukumNya, menghantar ke syurga dan menjauhkan dari neraka. (amin ya Allah)

Ilmu-ilmu lain yang membantu kesempurnaan tarbiyyah dzatiyah seperti ilmu psikology, sosiology, kesihatan mental dll.

Ilmu untuk Tarbiyyah Dzatiyah sangatlah penting dan tidak boleh dipisahkan. Sehinggakan apabila ditanya “Sampai bilakah engkau akan menulis hadis?” Ibnu Al-Mubarak menjawab “Semoga ada satu kata yang dapat memberi manfaat kepadaku, namun belum pernah aku dengar sebelumnya.”

Muhammad bin Ismail berkata, “Ahmad bin Hanbal melewati kami, dengan memegang kedua sandalnya dan berlari di jalan-jalan Baghdad, berpindah dari satu liqa’ ke liqa’ yang lain. Ayahku berdiri dan bertanya, ‘Hai Abu Abdullah, Sampai bila kamu mencari ilmu?’ Ahmad bin Hanbal berkata, ‘Sampai mati’.

Di antara cara-cara mencari ilmu:

1. Menghadiri pengajaran ilmiah, yang dianjurkan oleh pihak masjid, ustaz dan rakan-rakan (atau kuliah ilmiah di universiti! i.e JANGAN ponteng lecture dan rotations).

2. Menghadiri ceramah-ceramah tarbiyah.

3. Membaca buku-buku ilmiah.

4. Mengunjungi ulama’ dan para pemikir serta mengadakan dialog dan perbincangan dengan mereka.

5. Mendengar audio-audio dan video-video ilmiah yang dapat membantu pembinaan diri.

Perlulah diingatkan sepanjang mencari ilmu itu:

1. ikhlas mencari ilmu dan mengharapkan keredhaan Allah, agar ilmu anda diterima Allah dan bermanfaat dengan izinNya.

2. rajinlah mencari ilmu dan meningkatkan ilmu pengetahuan dengan pelbagai sarana dan tidak berhenti mencari ilmu walaupun sudah mempunyai ijazah yang tinggi.

3. terapkan ilmu yang telah dipelajari pada diri anda, agar anda menjadi teladan istimewa di seluruh aspek iman, akhlak, sosial dsb.

4. tunaikan hak ilmu dan bayar zakatnya, dengan berdakwah ke jalan Allah, menyebarkan dan mengajarkannya kepada manusia, dengan semua cara, hikmah dan pelajaran yang baik.

ilmu1

Comments (0)

Buku 2: Tarbiyah Dzatiyah (taubat dari segala dosa)

Posted on 15 July 2009 by srkad

Dipetik dari www.msmeire.wordpress.com
 
2. TAUBAT DARI SEGALA DOSA

Sarana kedua yang dicadangkan oleh penulis (Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan) adalah agar kita bertaubat dari segala dosa. Setelah bermuhasabah, kita melakukan pembersihan sebelum pengisian. Bertaubat dari segala maksiat, aib, dan ketidaksempurnaan dari segi pemikiran, akhlak dan amal. Serta merasakan sangat memerlukan Allah, dekat denganNya dan keredhaanNya.

Sebagaimana orang-orang yang berdosa perlu bertaubat dan kembali kepada Allah ta’ala, maka orang-orang yang taat dan beristiqamah kepada Allah juga perlu bertaubat dan kembali kepada Allah. Jika tidak orang dari golongan kedua itu terkena penyakit sombong dan jatuh ke dalam kesempurnaan diri yang palsu, yang dibisikkan oleh syaitan agar dia terus berada di dalam pelanggaran dan kemaksiatan.

Ibnu Taimiyyah berkata “Seorang hamba selalu berada di atas nikmat dari Allah yang perlu disyukuri dan dosa yang perlu harus diistighfari. Kedua hal tersbeut selalu terjadi kepada seorang hamba. Dia selalu bergelumang dengan nikmat Allah, perlu bertubat dan beristighfar. Kerana itu, manusia terbaik dan imam orang-orang yang bertaqwa i.e Rasulullah S.A.W selalu beristighfar kepada Allah dalam apa jua keadaan.”

Firman Allah:

 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَا تَعۡتَذِرُواْ ٱلۡيَوۡمَ‌ۖ إِنَّمَا تُجۡزَوۡنَ مَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (٧

 

Yang bermaksud:” Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya.” (at-tahrim:8 = 66:8)

Dosa dan maksiat merupakan sebab terbesar terputusnya hati dari Allah, kelemahan dan tidak berdaya menginginkan kebaikan dan amal salih, serta kegagalannya secara hakiki.


 

 

Hakikat Dosa

Dosa ialah tidak mengerjakan kewajiban-kewajiban syar’ie atau melalaikannya dalam bentuk tidak mengerjakannya dengan semestinya.

Misalnya lalai mengerjakan solat dalam waktunya, malas mengerjakannya secara berjemaah atau tidak khusyuk. Atau tidak melakukan amal makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kejahatan dan kemungkaran), atau lalai tidak melakukan dakwah kepada Allah ta’ala, atau tidak peduli dengan urusan dan keadaan orang Muslim. Dosa-dosa hati: sombong, dengki, bangga dengan diri sendiri, kagum dengan karya sendiri.

Syarat-Syarat Taubat

Taubat nasuhah: taubat jujur dan serius, yang menghapus kesalahan-kesalahan sebelumnya, yang melindungi pelakunya dari dosa-dosa sebelumnya.

Caranya: berhenti dari dosa pada masa mendatang, menyesali dosa-dosa silam, dan bertekad tidak mengerjakannya lagi pada masa akan datang.

Semua Dosa Itu Kesalahan

Seorang muslim itu sangat takut kepada Allah. Tidak ada beza pada dia dosa besar atau dosa kecil. Baginya semua dosa itu adalah kesalahan kepada Allah.

Seperti kata seorang salaf ” Jangan lihat kecilnya dosa, tapi lihatlah kepada Siapa anda bermaksiat!”

Hukuman di dunia

Dosa yang pelakunya tidak bertaubat darinya, ada hukuman yang segera di dunia, sebelum hukuman di akhirat. Maka wajib kita rasakan ketika kita mendapat musibah atau kecelakaan, samada terhadap kita atau pun orang-orang di sekeliling kita.

Maka seorang Muslim yang cerdik akan sentiasa bertaubat dan beristighfar dalam setiap masa dan keadaan.

Di Antara Tarikan-Tarikan Jiwa Kita

Tidak perlu lagi dikatakan akan sentiasa ada hasutan-hasutan dari syaitan. “Anda masih muda lagi dan masih ada banyak masa lagi untuk bertaubat atau berubah.” “Ajal masih lama lagi.” (relaks lah, aku muda lagi. relakslah, tunggu ah aku kerja nanti, sekarang kan student, kena enjoy)

Orang yang berakal, segera bertaubat sebelum ajal menjemput. Dalam apa keadaan jua ajal boleh datang: waktu bergelak ketawa bersama teman-teman, waktu menikmati hidangan juadah yang ibu sediakan, sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bertemu orang yang paling dicintai.

Hassan Al-Basri : “Sejumlah orang terkecoh oleh angan-angan mendapat keampunan, lalu dia meninggal dalam keadaan tidak bertaubat. Salah seorang dari mereka berkata “Aku bersangka baik dengan Allah.” Dia bohong! Sekiranya dia bersangka baik tentu dia akan berbuat baik.”

 

 

Comments (1)

Buku 2: Tarbiyah Dzatiyah (muhasabah)

Posted on 30 June 2009 by srkad

(sambungan …)

Assalammualaikum wrt

InsyaAllah kita akan sambung sessi bedah buku: Tarbiyyah Dzatiyah yang ditulis oleh Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan. Semoga pembaca dapat menghayati excerpt dari buku ini.

Setelah membicarakan tentang apakah itu tarbiyyah dzatiyyah, kepentingannya dan mengapa ramai yang tidak menyedari kepentingannya, kita akan lihat pula sarana-sarana yang dicadangkan oleh penulis di dalam buku ini. Ada 8 sarana yang telah dicadangkan oleh Abdullah Al-Aidan.

1. MUHASABAH

Setiap perbuatan kita hatta sekecil-kecil atom, atau kata hati berdetak akan dicatatkan oleh malaikat rakib dan atid. Maka seelok-eloknya lah kita muhasabah diri kita dulu sebelum dihisab di hadapan Allah nanti. Perhatikanlah amalan-amalan, habit-habit, emosional dan rasional kita. Elok kah nanti untuk dipersembahakan kepada Allah nanti?

“Hari orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (QS. Al-Hasyr: 18)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Orang yang cerdas (berakal) adalah orang yang menghisab dirinya dan berbuat untuk setelah kematian. Dan, orang yang lemah ialah orang yang mengikutkan dirinya pada hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah” (Riwayat At-Tarmizi)

Umar al-Khattab R.A pula berkata: “Hisablah diri kalian sebelum diri kalian dihisab dan timbanglah diri kalian sebelum ditimbang. Kerana kalian lebih mudah menghisab diri kalian hari ini daripada kelak! Bersiap sedialah untuk menghadapai pertemuan besar. Ketika itu kalian dipertemukan dengan Allah dan tidak ada sesuatu apa pun pada kalian yang tersembunyi.”

Muhasabah secara rutin

Ibnu Qayyim menjelaskan ” Perkara yang paling bermanfaat untuk seseorang ialah dia duduk sebentar ketika hendak tidur. Ia melakukan muhasabah terhadap dirinya pada saat tersebut; atas kerugian dan keuntungannya pada hari itu. Lalu ia memperbaharui taubatnya dengan nasuha kepada Allah s.w.t, lantas tidur dalam keadaan bertaubat dan bertekad untuk tidak mengerjakan dosa yang sama setelah dia bangun. Itu dia lakukan setiap malam. Jika dia meninggal pada malam tersebut dalam keadaan seperti itu, dia meninggal dalam keadaan bertaubat. Jika dia bangun, dia bangun dalam keadaan siap beramal, senang ajalnya ditunda, dan siap mengerjakan perbuatan-perbuatan yang belum dia lakukan.”

Skala priority yang penting

  • kesihatan aqidahnya (bersih dari syirik terang-terangan atau syirik tersembunyi)
  • kekuatan tauhidnya (tidak dilemahkan oleh perbuatan atau fahaman yang akan melekmahkan tauhid)
  • pelaksanaan kewajiban (solat lima waktu berjemaah, berbakti kepada orang tua, mengukuhkan silaturahim, amar makruf nahi mungkar)
  • sejauh mana menjauhi perkara-perkara haram
  • sejauh mana melakukan ibadah-ibadah sunnat

Jenis-Jenis Muhasabah

  • Muhasabah sebelum melakukan sesuatu i.e jelas kenapa dia perlu berbuat sebegitu
  • Muhasabah setelah melakukan sesuatu i.e muhasabah terhadap ketaatan kepada Allah (samada perbuatan tersebut melalaikan dia dari Allah), muhasabah perkara-perkara yang lebih baik dilakukan, dan muhasabah kewajaran perbuatan tersebut (adakah lillahi ta’ala atau kerana menginginkan dunia).

Muhasabah atas waktu

Muhasabah bagaimana dia telah menggunakan waktunya. Sia-sia, main-main, lalai atau bermanfaatkah?

Hassan al-Basri pernah berkata ” Aku pernah berjumpa dengan sekumpulan manusia yang peduli dengan waktu mereka, lebih dari kepedulian kalian dengan wang kalian.”

Ingat hisab terbesar

Hassan Al-Basri pernah berkata:

“Orang mukmin itu pengelola dirinya sendiri. Dia menghisab dirinya terhadap ketaatan kepada Allah ta’ala. Hisab sesetengah orang dipermudahkan pada hari kiamat, kerana mereka memuhasabahi diri mereka di dunia dan hisab sebahagian orang dipersulitkan kerana mereka mengerjakan banyak hal tanpa muhasabah.”

(bersambung lagi :D …)

 

Comments (0)

Buku 2: Tarbiyah Dzatiyah (Kepentingan)

Posted on 18 June 2009 by srkad

Dipetik dari www.msmeire.wordpress.com

tarbiyah-dzatiyah1

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan

Buku ini diterjermah oleh Fadhli Bahri.

Dalam kata-kata pengantar penerbit, kita diajak berfikir bagaimanakah para sahabat mampu menjadi insan-insan yang hebat serta mampu menampilkan kelebihan masing-masing yang tersendiri? Padahal guru mereka sama i.e Rasulullah s.a.w dan Islam yang diajarkan juga sama? Sekiranya dibandingkan timbangan antara iman Abu Bakar r.a dengan iman umat secara seluruhnya, iman Abu Bakar r.a lebih berat; Umar r.a yang gagah sehingga syaitan tidak berani mendekatinya dan Al-Abbas r.a dalam usia yang muda menjadi ‘orang rujukan’ para sahabat yang lebih senior.

Di antara jawapan kelebihan mereka yang tersendiri itu adalah kerana masing-masing dari mereka mampu mentarbiyyah (membina) diri sendiri. Proses pembinaan diri itu yang konsisten dan berterusan itulah yang disebut sebagai Tarbiyyah dzatiyah di dalam buku ini.

Lalu, penulis (Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan) pula bertanya kepada pembaca, adakah kita mudah berpuas hati dengan keadaan diri kita sekarang? Hanya cukup dengan nikmat Islam tanpa ada usaha untuk memperbaiki iman, akhlak dan ilmu kita?

Penulis mendefinisikan Tarbiyyah Dzatiyah sebagai sejumlah usaha tarbiyyah(pembinaan) diri yang diberikan seorang Muslim/Muslimah kepada dirinya untuk membentuk keperibadian Islami yang sempurna di seluruh sisinya.

Penulis menekankan kepentingan pada kita untuk membina diri kita sendiri. Di antara hujah penulis siapa lagi yang akan membina diri kita kalau bukan kita sendiri? Malahan, kelak di hari akhirat, kita akan dihisab mengikut amalan kita sendiri. Pembinaan diri sendiri juga akan lebih membuahkan hasil dan perubahan. Penulis juga berpendapat pembinaan diri sendirilah yang akan mampu membina benteng pertahanan untuk melawan ragam fitnah dan pujuk rayu untuk gugur, malas, merasa takut dengan masa depan dan berputus asa dengan realiti sekarang. Penulis memberikan perumpamaan Tarbiyyah Dzatiyah bagai sepohon pokok yang tetap kukuh walaupun dilanda badai dan ribut. Melalui Tarbiyyah Dzatiyah lah kita akan dapat merubah realiti masyarakat sekrang kerana sekiranya setiap individu berubah menjadi baik, insyaAllah masyarakat pun akan berubah menjadi baik kerana kitalah komponen masyarakat. Istimewanya Tarbiyyah Dzatiyah ini adalah ia mudah diaplikasikan, boleh dibuat secara konsisten pada setiap masa atau keadaan dan mempunyai sarana yang banyak.

Penulis kemudian mengulas mengapa ramai yang tidak ambil endah pada pembinaan diri ini. Di antaranya adalah kerana ketidaktahuan pada dalil-dalil Al-Quran dan as-sunnah yang mengajak kepada Tarbiyyah Dzatiyah , kelebihan dan pahala amalan-amalan salih, hasil-hasil positive pada diri sendiri di dunia dan di akhirat, dan betapa syaitan tidak pernah berhenti berusaha menjauhkan kita dari melakukan ketaatan dan kebaikan. Ramai juga yang terikat dengan dunia sehingga dunia dijadikan tujuan hidupnya, contohnya pangkat dan pernikahan, sehingga lupa pada pembinaan dirinya, pembersihan, pembaikan dan pengarahan dirinya. Hasilnya, sebahagian besar kehidupannya sia-sia belaka dan lupa dasr tujuannya keberadaannya di dunia untuk beribadah kepada Allah, taat kepadaNya, bersungguh-sungguh di jalanNya dan berdakwah(mengajak) kepadaNya.

Selain itu terdapat pemahaman yang salah tentang Tarbiyyah Dzatiyah iaitu akan menyebabkan dirinya terputus dari kehidupan dan manusia serta terasing dari mereka; mengambil masa dan tenaga yang banyak; merasakan tidak perlu setelah menunaikan solat, puasa, zakat dan haji. Lingkungan tempat hidup seseorang juga mempunyai pengaruh kuat dalam hidupnya (e.g rumah, sekolah, media, etc). Lingkungan hidup yang mempunyai kesan positive akan membantu seseorang untuk istiqamah, peduli dengan tarbiyyah dan tazkiyah(penyucian) dirinya.

Pemahaman lain yang tidak tepat di mana proses pembinaan diri hanyalah untuk kanak-kanak atau para remaja, sedangkan pembinaan itu berterusan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Malangnya, tidak ramai yang dapat membantu kita membina diri. Oleh itu wajiblah kita sendiri yang mengambil inisiatif untuk membina dan mengarah diri kita sendiri. Di antara masalah yang ada pada diri kita apabila hendak membina diri ialah tarikan antara kehendak hati kita. Ketika kita hendak berubah akan terdapat bisikan-bisikan yang akan melambatkan proses tersebut, menangguhkan keinginan untuk berubah, menunggu-nunggu hari yang paling ideal untuk dia berubah. Padahal, hari berganti hari, namun ia tidak melakukan perubahan dan kebaikan.

(bersambung)

 

Comments (0)

Buku 1: Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah

Posted on 25 May 2009 by srkad

Dipetik dari blog msm emsy (www.msmemsy.wordpress.com)

bklnjlndkwh

Bidang: Dakwah
Tajuk: Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah
Penulis: Mustafa Masyhur
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar
Diulas oleh: Nida Fatin Mat Asis

Buku “Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah” merupakan buku yg sewajarnya dibaca dan lebih-lebih lagi dihayati oleh para dai’e dan aktivis gerakan islam. Dalam keghairahan menyambung tugas Ar-rasul menyampaikan mesej islam kepada segenap manusia, para dai’e harus menyedari bahawa mereka sendiri perlukan bekalan yg cukup bukan sahaja dari aspek ilmiah tetapi juga dari aspek imaniyyah dan ruhaniyyah. Hanya hati yang bersih dan penuh keimanan sahaja yang mampu menyentuh hati-hati lain untuk turut sama berada dalam “gerabak” dakwah ini menuju redha Illahi.

Seiringan dengan ini, penulis meletakkan penekanan yang jelas pada permulaan buku tentang keutamaan jalan dakwah ini dalam hidup seorang daie dan kepentingan memeliharanya. Setiap langkah dalam jalan dakwah ini diiringi dengan tuntutan demi tuntutan, samada dalam bentuk kewajipan mahupun dalam bentuk pengorbanan. Di samping itu, penulis juga mengutarakan beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka yang memilih jalan dakwah ini. Semua ini memerlukan bekalan IMAN dan TAKWA yang utuh untuk setiap daie menghadapinya. Pada pendapat saya, bab ini telah dikupas dengan begitu teliti dan dengan penuh penghayatan oleh penulis melalui pengalamannya yg bergitu luas sebagai salah seorang peneraju utama gerakan dakwah islam di Mesir; Ikhwanul Muslimin.

Setiap pembaca yang melalui permulaan buku ini tadi dengan hati yang terbuka dan mengharapkan petunjuk Illahi, pasti akan teruja utk meneruskan pembacaan pada bab-bab seterusnya utk mengetahui apa sebenarnya BEKALAN yang diperlukan itu dan wasilah-wasilah yang ada untuk memperolehinya. Hanya hati yang dengan jujurnya merasakan bertapa perlunya kita kepada bekalan-bekalan tersebut, akan dapat menghayati keseluruhan buku ini dengan sebenar-benarnya. Hati-hati ini akan tertunduk dengan penuh kesyukuran bila menyedari bahawa Allah, dengan segala belas ihsanNya kepada hambaNya, tidak pernah meninggalkan kita untuk menempuh liku-liku jalan ini dengan bersusah-payah tanpa petunjuk dan bantuan dariNya. Ini kerana pada akhir buku ini, kita akan menyedari bahawa Allah telah menyediakan pelbagai BEKALAN dalam setiap kata-kata, ciptaan dan pemberianNya, jika kita punyai hati yang cukup celik untuk menyedari hakikat tersebut.

Semoga buku ini menjadi daya penolak untuk setiap daie menyediakan diri mereka dengan bekalan yang cukup untuk menghadapi jalan dakwah ini sehingga ke hembusan nafas yang terakhir insyaAllah.

Comments (0)

Video MSM

 

September 2010
M T W T F S S
« Aug    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930